Penduduk Diingat Waspada Kemungkinan Banjir… ADUN Usukan, Tempasuk Turun Padang

KOTA BELUD, 7 Okt – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak menasihatkan penduduk di kawasan Kota Belud supaya berhati-hati dan bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan ketika musim banjir.

Katanya, ini kerana keadaan cuaca masih mendung dan hujan kerap berlaku di kawasan terbabit.

“Walaupun ada kawasan sudah mulai surut namun ada juga sesetengah tempat masih mengalami banjir,” katanya dalam satu hantaran di akaun facebook peribadinya.

Beliau menasihatkan demikian ketika menziarahi mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan di Dewan Tun Said, Balai Muhibbah Kampung Baru dan Dewan SMK Taun Gusi 2 di sini, hari ini.

Turut bersama beliau ialah Adun Kawasan Tempasuk, Arshad Bistari.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri berharap mangsa banjir supaya bersabar menghadapi dugaan yang mereka hadapi.

Salleh kemudian diberi taklimat khas oleh Pegawai Daerah, Dyanah Abdullah berhubung keadaan banjir di daerah berkenaan.

Adun Pintasan, Fairuz Renddah dan Arshad turut hadir sama pada taklimat itu.

Katanya, beberapa perkara juga telah dibincangkan termasuk isu kebajikan dan keselesaan mangsa banjir, masalah air bertakung di jalan raya, bantuan makanan dan keperluan asas serta bantuan yang diberikan pihak polis.

“Kami akan melakukan sebaik kemampuan untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban penduduk yang terlibat,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.