Kembalikan UMNO Ke Landasan Sebenar… Kerjasama Politik Tidak Menguntungkan – Mohamad Hasan

Keputusan Pilihan Raya Sabah menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang UMNO meterai, tidak menguntungkan UMNO, malah semakin memencilkan peranannya di Sabah.

Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, UMNO waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS.

Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya. Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang.

Pengorbanan UMNO memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan UMNO secara signifikan. Lebih menyedihkan, UMNO terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan untuk melemahkan UMNO. Janji yang dimeterai berkaitan potfolio kabinet pun hampir dimungkiri.

UMNO tidak boleh membiarkan episod pilihan raya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’.

Justeru, telah tiba masanya Presiden UMNO memberikan pedoman dan halatuju jelas kepada parti dan semua ahlinya, tentang bagaimana kita harus meneruskan kerjasama kita dengan saingan politik kita. Satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan, untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam PRU Sabah.

Menuju masa depan, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara. Episod itu telah berakhir. Episod seterusnya ialah bagaimana UMNO akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui BN dan bukannya platform politik lain.


Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional.

Jika kita terpaksa bersendiri bersama PAS dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri.

Marilah kita mulai saat ini, mengembalikan UMNO ke landasan sebenarnya. Kusut dihujung, balik lah kepangkal. Dan marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, membangunkan semula UMNO agar ia menjadi wadah yang dipercayai dan di dukung oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

Datuk Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.