Jangan Melampau… Dr Asyraf Bidas Pemuda PPBM Jangan Angkuh

KUALA LUMPUR, 29 Sept – “Jangan Melampau! Ahli-ahli UMNO juga ada maruah. Tidak selamanya juga kami boleh mengalah. Nasihat saya bersahabat dan berpakat mesti jujur dan ikhlas.”

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai respons terhadap Ketua Pemuda PPBM Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyatakan rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) disebabkan gabungan itu tidak dibebani dengan isu masa lalu.

“Waktu nak selamatkan Kerajaan Persekutuan, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 43 Ahli Parlimen, berjiwa besar mengalah kepada PPBM yang hanya ada 6 + 15 (Ahli Parlimen Lompat dari UMNO) untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM….”

Katanya, waktu nak tubuhkan Kerajaan Perak, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 25 ADUN berjiwa besar, tetap mengalah kepada PPBM yang hanya ada empat kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Faizal Azumu sebagai Menteri Besar.

“Waktu nak tubuhkan Kerajaan Sabah, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 14 ADUN berjiwa besar, sekali lagi mengalah kepada PPBM yang hanya ada 11 kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Hajiji sebagai KM…,”

“Biarpun tidak diharap sebarang penghargaan mahupun pujian, saya tetap tabik hormat kepada seluruh Jentera UMNO-BN di akar umbi yang bekerja keras bukan sahaja di kawasan BN bertanding bahkan turut membantu memenangkan calon-calon PPBM atas bendera Perikatan Nasional di kawasan-kawasan yang hakikatnya menjadi tradisi kubu kuat UMNO-BN hampir 30 tahun,” bidasnya lagi dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Beliau juga turut menyertakan tanda pagar #janganangkuhjangansombong #jiwabesardemirakyat #BangkitKembali

Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal dipetik berkata, “Perikatan Nasional tidak dibebani dengan isu legasi, ‘trust deficit’ kerana ianya masih baru dan segar. Kekuatannya banyak terkumpul pada Muhyiddin Yassin yang kita tahu tidak ponggah, tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama asalkan matlamat utama dalam menubuhkan kerajaan yang kuat, berintegriti dan beramanah itu tercapai.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit