Jalan Politik Bukan Untuk Keuntungan Diri Tapi Demi Bangsa, Tanah Air – Shahril Hamdan

KUALA LANGAT, 28 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menegaskan bahawa jalan politik bukan hanya untuk keuntungan diri tetapi ia adalah perjuangan yang lebih besar di luar sana.

Ujarnya, apa saja yang dilalui jangan sesekali mengharapkan balasan kerana keutamaan adalah dahulukan bangsa dan tanah air.

“Insya-Allah kita sempurnakan ke arah itu walaupun politik masa kini sering berubah tetapi kita harus terus istiqamah dalam perjuangan.

“Apabila asas kita kukuh, istiqamah dan lain-lain, insya-Allah apa saja pertimbangan dan keputusan yang kita buat akan menjadi keputusan yang betul, tetapi kalau iman kita goyang dan berubah-ubah mengikut perasaan orang lain atau ubah-ubah tanpa berasas satu perkara yang mutlak, maka disitulah risiko perjuangan parti akan terpesong.

“Apa perasaan kita seandainya kita tidak mendapat jawatan… adakah kita akan berubah? Sudah tentu kita akan merasa terkilan namun apa opsyen yang kita buat?” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam amanat melalui audio (suara rakaman) yang disiarkan dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Kuala Langat di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, semalam.

Shahril tidak dapat menghadiri persidangan terbabit kerana berada di hospital ekoran rawatan selepas disahkan positif COVID-19 sebaik pulang dari Sabah baru-baru ini.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia menjelaskan apa saja isu dan kelemahan tidak boleh menggantikan solidariti yang diwujudkan dalam Pergerakan itu.

“Usaha-usaha perlu kita teruskan dan mesti kita lipat gandakan menjelang PRU-15. Akan ada kekurangan dan akan ada kelemahan namun dengan berkat kesedaran itu saya memohon kepada semua untuk bekerja sama. Kita semua sepakat dalam usaha kita untuk menyumbang peluang yang lebih besar untuk hidup kita dan demi parti kita.

“Biar apa saja orang bercakap, kalau kita yakin pada diri kita sendiri, istiqamah dengan perjuangan bersama, Insya-Allah tidak kira siapa saja kita hadap pun… disebabkan iltizam kearah melaksanakan apa yang kita anggap satu ibadah, maka perjuangan ini mengisi kehidupan kita,” katanya.

Ujar Shahril, anggota parti perlu terus istiqamah dan konsisten dalam meneruskan perjuangan.

“Apa saja keadaan perubahan di luar maka kita perlu konsisten dengan usaha kita. Saya rasa kita boleh berbangga dengan kerja-kerja asas kita sebagai satu pergerakan di Kuala Langat. Banyak usaha kita yang telah membuahkan hasil,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Kuala Langat turut memaklumkan bahawa sebanyak 85 program telah di anjurkan Pemuda Kuala Langat semenjak persidangan yang lepas.

“Hampir 1,925 orang telah menerima bantuan yang penerima itu sama ada ahli atau rakyat biasa. Seramai 198 ahli baru Pemuda telah kita daftarkan iaitu majoriti dari ahli baru yang kita daftarkan di UMNO Kuala Langat, malah empat cawangan Pemuda dihidupkan semula.

Katanya, usaha-usaha yang dilakukan Pemuda Kuala Langat akan akan terus dilaksanakan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79