Gabungan Parti Bentuk Kerajaan PN Sangkal Anwar, Kekal Teguh

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Gabungan parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyangkal dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini.

“Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19,” ujar semua Setiausaha Agung parti gabungan tersebut yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Semalaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, semua parti yang bekerjasama dalam kerajaan kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2020/09/KENYATAAN-MEDIA-GABUNGAN-KERAJAAN-PN-1.pdf”]

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79