Gua Gomantong Dikembalikan Kepada Masyarakat Orang Sungai – Bung Moktar

KINABATANGAN, 16 Sept – Mengembalikan semula Gua Gomantong kepada masyarakat Orang Sungai di sini, khususnya di kawasan Suan Lamba, Sukau dan Bilit, menjadi antara misi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 Sept ini.

Beliau berkata ini kerana hasil Gua Gomantong, seperti sarang burung layang-layang, pernah menjadi sumber pendapatan kerajaan negeri.

“Gua Gomantong suatu ketika dahulu merupakan sumber pendapatan penduduk di daerah Kinabatangan.

“Sejak berpuluh tahun, kawasan ini semakin mundur kerana aktiviti ekonomi tiada sehingga masyarakat sini terpaksa berhijrah ke bandar mencari pekerjaan setelah hilang sumber pendapatan di Gua Gomantong,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama jentera pilihan raya BN di Pusat Daerah Mengundi Suan Lamba dekat sini.

Bung Moktar yang bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag, berkata pemulangan Gua Gumantong kepada rakyat di daerah ini tidak hanya membantu mereka meraih pendapatan tetapi juga akan membuka ruang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda.

Gua Gomantong ialah gua batu kapur dihuni burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung bernilai tinggi yang diproses menjadi makanan berkhasiat serta menjadi tarikan pelancongan di daerah itu.

Pemberian secara tender oleh kerajaan negeri ketika itu untuk menuai sarang burung layang-layang di gua itu menyebabkan penduduk setempat hilang hak dan diambil alih oleh syarikat luar.

Gua Gomantong mengeluarkan sarang burung yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia dan merupakan warisan turun-temurun masyarakat Orang Sungai melalui satu perjanjian antara masyarakat Orang Sungai itu daripada suku kaum Bulud Upih dengan pihak Inggeris melalui North Borneo Chartered Company pada 1884.- BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.