Pemuda UMNO Sabah Yakin Rakyat Beri Kepercayaan Kepada BN Dan Rakan Gabungan

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain yakin Barisan Nasional (BN) dan rakan parti gabungan mampu mengambil semula tampuk kerajaan negeri dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya.

Ini kerana katanya, rakyat semakin sedar parti yang mana yang lebih membawa kemajuan dan kemakmuran kepada mereka.

“Saya yakin dan percaya kita akan mengambil balik tampuk kerajaan daripada Warisan dan sekutunya, kerana rakyat Sabah tahu menilai kerajaan mana yang lebih baik dan teruji membawa kemajuan, kemakmuran serta membina perpaduan kepada segala bangsa sentosa di negeri bertuah ini,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Abdul Aziz mengucapkan tahniah kepada calon daripada Pemuda UMNO yang diberi kepercayaan untuk menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-16.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan kalian dan memenangkan parti kita di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

“Sekali lagi tahniah dan semoga kita mencipta kemenangan besar dalam PRN kali ini. Insya-Allah,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan senarai 31 calon UMNO termasuk dari sayap pemudanya mewakili BN bagi menghadapi PRN Sabah.

Antaranya adalah seperti Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kudat, Sufian Abdul Karim calon di DUN Pitas, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putatan, Mohd Reduan Aklee (DUN Tanjung Aru); Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sipitang, Sani Miasin (DUN Sindumin); dan Exco Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy (DUN Tanjong Batu). – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.