Peminjam Digesa Segera Hubungi Bank, Sahkan Status Lanjutan Moratorium – Shahar

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Kalangan individu yang memerlukan bantuan pembayaran balik pembiayaan digesa agar segera memberi maklum balas atau mengunjungi bank masing-masing bagi tujuan mengesahkan lanjutan moratorium yang ditawarkan.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata selain membantu peminjam yang masih memerlukan bantuan pasca moratorium, langkah itu juga penting bagi mengelak rekod kredit mereka buruk selepas September ini.

“Hasil pertemuan saya dengan wakil-wakil bank tempoh hari, saya dimaklumkan bahawa bank-bank sudah bersedia untuk memberi bantuan dan memproses permohonan orang ramai.

“Bagaimanapun, respons daripada individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) setakat ini masih belum sepertimana yang diharapkan.

“Saya bimbang jika orang ramai dan PKS masih menunggu sehingga ke saat-saat akhir untuk memulakan rundingan dan memohon bantuan bayaran balik pembiayaan daripada bank,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahar juga mengingatkan individu dan PKS terbabit bahawa bank-bank memerlukan tempoh satu hingga lima hari untuk memproses permohonan pelanggan individu manakala permohonan PKS memerlukan tiga hari hingga dua minggu.

Dalam pada itu, beliau berkata kebanyakan bank-bank telah melaksanakan program lanjutan moratorium bersasar dan pembayaran balik pembiayaan secara fleksibel mulai 7 Ogos lepas.

Setakat 21 Ogos lepas, bank-bank telah menghubungi sebanyak 1,015,848 peminjam yang merangkumi masing-masing 908,773 individu, 94,685 PKS dan 12,390 syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan berkenaan.

Ini juga menjadikan tarikh akhir moratorium secara automatik itu berbaki 29 hari lagi.

Dalam tempoh dua minggu bermula 7 Ogos, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu telah diterima dengan sejumlah 109,172 daripadanya telah mendapat kelulusan.

Bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro, sebanyak 5,017 permohonan diterima dengan sejumlah 4,300 daripadanya telah mendapat kelulusan bank.

Mohd Shahar juga meminta peminjam tidak berasa bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan sepanjang tempoh ini tidak akan dipaparkan dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.