PRK Slim: Formulasi Kesepakatan Jentera Wanita UMNO Tonggak Kekuatan Berkempen

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata kempen hari terakhir jentera Wanita UMNO Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang sedang berjalan menggunakan pendekatan  menyantuni dan mendekati pengundi.

Katanya, pendekatan kempen bersemuka dilihat lebih mesra kepada pengundi dan keberhasilannya adalah pengundi berasakan mereka sangat dihargai dan didengari pada setiap harapan dan permasalahan mereka.

“Dalam era sekarang, pendekatan penggunaan teknologi turut membantu kempen di PRK Slim dan jentera Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) yakin bahawa calon BN yang bertanding diterima oleh setiap pengundi.

“Saya percaya gerak kerja Wanita UMNO dan BN yang datang berkempen dan membantu jentera dari seluruh negara adalah formulasi kesepakatan yang sering kali diucapkan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, kekuatan UMNO adalah datangnya juga kekuatan wanita parti itu sendiri.

“Kita sentiasa komitmen dan mempunyai rekod terbaik dalam aspek penyampaian khidmat dan penerangan sejak dari penubuhan parti ini,” katanya lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit