Senarai Projek Runding Terus Di Bawah PH Perlu Didedahkan Kepada Rakyat Segera – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen Malaysia berhubung kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir selama 22 bulan lalu meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus hendaklah segera disiasat secara terperinci.

Demikian tegas Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim yang menganggap rakyat perlu mengetahui senarai projek yang dilaksanakan secara rundingan terus walaupun perolehan rundingan terus boleh dilaksanakan bagi keadaan tertentu dan menepati beberapa kriteria.

“Rakyat mahu senarai projek didedahkan bagi membuktikan adakah kerajaan PH mengamalkan sikap telus dan keterbukaan seperti mana yang sering kali diucapkan bekas Menteri Kewangan kerajaan PH lalu, YB Lim Guan Eng,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang ini adalah satu persoalan besar yang perlu dijawab kerana ia membabitkan sejumlah wang rakyat yang besar.

“Kita juga hendak mengetahui setakat mana status dan kemajuan yang telah dicapai menerusi 101 projek runding terus terbabit.

“Saya beranggapan andainya projek itu membawa manfaat kepada rakyat dan ekonomi dalam waktu 22 bulan, itu sudah menjadi tanggungjawab kerajaan pada ketika itu, tetapi perkara paling dibimbangi adalah kemungkinan ada unsur-unsur salah tadbir urus, penyelewengan kuasa serta kedudukan, kronisme dan nepotisme,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit