Undilah BN, Mohd Zaidi Ada Pakej Sebagai Pemimpin – Hasni

TANJUNG MALIM, 25 Ogos – Pengalaman yang ada pada seseorang calon selain keupayaan parti yang diwakilinya serta beberapa faktor lain akan menjadi pertimbangan utama pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Sabtu ini.

Untuk itu, bagi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad, calon yang diketengahkan BN untuk mewakili penduduk DUN Slim, Mohd Zaidi Aziz adalah seorang yang selayaknya setelah kriteria berkenaan diambil kira.

“22 bulan lalu cukup mengajar kita bahawa negara ini perlu dipimpin oleh mereka yang betul-betul berpengalaman tidak kira semua peringkat  sama ada di DUN mahupun Parlimen suara rakyat, pengalaman wakil rakyat itu perlulah seiring.

“BN sebagai parti telah terbukti khidmat baktinya kepada masyarakat dan kita percaya itu akan menjadi pertimbangan utama oleh pengundi-pengundi pada hari ini dan ianya tidak berasaskan sentimen perkauman dan hal-hal yang berkait dengan peribadi, soal perkara-perkara yang bersifat politik dan mencari populariti semata-mata,” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau mengadakan ziarah kasih bersama jentera setempat dan sembang santai bersama jentera serta pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Trolak Utara, Isnin.

Hasni seterusnya percaya rakyat sudah bosan malah turut yakin dalam keadaan negara berdepan COVID-19, ekonomi yang lembab dan sebagainya lagi maka tentunya rakyat inginkan wakil mereka benar-benar wakil yang memahami denyut nadi mereka di bawah, harapan rakyat serta permintaan penduduk Slim itu sendiri.

“Wakil daripada BN iaitu Mohd Zaidi adalah calon yang tepat dan orang tempatan yang tahu masyarakat sekitar serta telah lama berkhidmat dengan masyarakat sama ada melalui parti siasaah menerusi UMNO mahupun sebagai barisan dalam kepimpinan NGO dan telah menunjukkan komitmen serta kebolehan beliau untuk memimpin rakyat,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.