UMNO: Antara Kekal Berkuasa Atau Kekal Berprinsip

Untuk Golongan Muda UMNO…

PERKEMBANGAN politik semasa membuktikan pentingnya soal integriti dan prinsip. Perkongsian ini kami titipkan kepada golongan muda UMNO: Puteri, Pemuda, Mahasiswa, serta segenap anak bangsa yang kekal menyokong parti UMNO-Barisan Nasional.

Semangat juang golongan muda UMNO semenjak kekalahan Barisan Nasional pada pru-14 layak dipuji. Walau ada rakan seperjuangan yang meninggalkan parti, lebih ramai lagi yang setia kepada perjuangan: masih giat berkempen dalam PRK, masih bersemangat memikirkan pendekatan dan inisiatif baharu bagi parti, serta masih berani mematahkan hujah dan membalas sentimen parti lawan.

Namun begitu, tugas golongan muda UMNO tidak terhad kepada membantu parti memenangi hati rakyat dan kerusi wakil rakyat sahaja, kerana sesungguhnya, persoalan yang lebih mustahak bukanlah ‘adakah UMNO akan kekal berkuasa’ akan tetapi, ‘adakah parti UMNO kita akan kekal berprinsip’, dan persoalan kedua ini bergantung kepada sama ada kita mampu menjalankan tanggungjawab dan memenuhi peranan kita sebagai golongan muda UMNO.

Politik Telus dan Bersih
Pertama, golongan muda UMNO memikul tanggungjawab untuk membina budaya politik yang telus dan bersih dari akar umbi sehinggalah ke peringkat kepimpinan tertinggi agar budaya politik ini dapat dipraktikkan apabila berada dalam kerajaan. Budaya ini amat penting untuk memelihara paksi perjuangan pro-rakyat agar UMNO dapat menjaga kepentingan, hak, dan tanggungjawab rakyat terhadap kehendak segolongan kecil puak politik dan nafsu perseorangan.

Usir unsur kebejatan seperti sistem politik feudal yang berteraskan patronage serta politik wang kerana sistem ini memungkinkan paksi wang dan kuasa untuk bersaing dengan paksi perjuangan rakyat. Ia harus dibasmi, bukan diterima sebagai sebahagian ‘realiti politik’. Banyak amalan dan idea yang usang masih berkuasa hanya kerana tua umurnya, tua tak bermakna betul mahupun bijak.

Dalam usaha dan ikhtiar membina budaya politik baharu, kerangka akauntabiliti dalaman parti seperti jawatankuasa disiplin perlu digandingkan dengan usaha golongan muda UMNO untuk memastikan kepimpinan kekal teguh memperjuangkan kepentingan rakyat. Parti tidak memerlukan ahli yang rapuh prinsip dan tuli nilai untuk menentukan arah tuju parti.

Anak Muda Mengemudi

Kedua, pentas golongan muda UMNO wajar dijadikan platform untuk mengusulkan arah tuju politik yang dikehendaki oleh anak muda dan memperjuangkan kepentingan anak muda, bukan mengulang mesej dan sentimen yang dihasilkan pemimpin-pemimpin parti dalam nada anak muda. Bukanlah tugas golongan muda UMNO untuk mengedar propaganda mana-mana puak pemimpin UMNO dalam bungkusan atau versi anak muda. Itu sifat burung kakak tua, bukan golongan muda UMNO.

Setia kepada parti bermakna setia kepada perjuangan UMNO, pengisian makna perjuangan itu harus berteraskan prinsip, bukan berteraskan kemahuan mana-mana pemimpin parti. Malah, jika tidak bersetuju dengan sentimen yang dialunkan dari atas atau tidak puas hati dengan natijah yang diputuskan oleh kepimpinan, jangan malu menginjak ke platform terbuka untuk persoalkan, mencabar, dan memberi alternatif. Golongan muda UMNO ada tuntutan sah atas pengemudian parti.

Golongan muda UMNO perlu menggembleng tenaga menggerakkan prakarsa yang memberi manfaat untuk rakyat, membuka diskusi tentang isu nasional seperti isu kos sara hidup, pengangguran, hak dan kebajikan pekerja bersertakan cadangan-cadangan polisi. Naratif yang dikukuhkan perlu berdasarkan paksi perjuangan rakyat, bukan berdasarkan keutamaan lain atau faktor yang berubah-ubah seperti kesesuaian politik atau lebih parah, kehendak pemodal dan pemaju. Golongan muda UMNO perlu secara terbuka menolak dan menentang politik kebencian, fasisme bersama elemen-elemen perkauman. Kita harus bina semula UMNO yang mana polisinya boleh dibanggakan segenap ahli parti.

Menghidupkan Demokrasi dalam Parti
Ketiga, jatuh kepada golongan muda parti UMNO untuk menghidupkan demokrasi termasuklah dengan mengamalkan budaya politik terbuka dan dengan beralih kepada format perjuangan yang lebih ideal. Zahirkan pendapat anda secara terbuka; budaya demokrasi ini penting untuk semak dan imbang dalam parti agar UMNO tidak terkandas daripada landasan perjuangan. Kekal lantang. Jangan sesekali menjinakkan prinsip anda, jangan sesekali menangguhkan perjuangan nilai, dan jangan pula menunggu pemimpin beralih untuk membuat perubahan.

Format politik yang memperjuangkan individu tidak boleh diharapkan lagi, format politik yang memperjuangkan agenda harus menjadi pilihan golongan muda UMNO. Format politik individu terlalu bergantung kepada sosok personaliti politik sedangkan perubahan yang dibawa oleh satu pemimpin sudah tentu boleh dibalikkan oleh pewaris jawatan itu, maka perubahan yang dibawa individu kadangkadang bersifat sementara. Malah, risiko besar ialah apabila dosa pemimpin itu mengheret keseluruhan struktur parti untuk menerima balasan rakyat.

Perjuangan agenda lebih lestari dan berterusan kerana tidak bergantung kepada asabiyyah rendah puak tertentu; apabila sesebuah matlamat atau polisi dijadikan faktor penyatuan, maka golongan muda UMNO bersama segenap akar umbi dan barisan penyokong boleh meneruskan perjuangan walau berganti pemimpin.

Tanggungjawab dalam Perjuangan
Rakan seperjuangan golongan muda UMNO,
Kadang kita terima cacian dari anak muda yang lain haluan, kadang menghadapi skeptisisme jujur anak muda luar parti yang menyoal kedudukan anak muda UMNO dan menyoal perjuangan parti. Jawablah mereka jika mampu, jika tidak, tak mengapa, cermin diri, renungkan niat kita dalam UMNO.

Di luar sana, ada yang bibirnya menghina rasuah dan politik wang UMNO, sedang salahlaku puaknya disembunyikan; menjadi adat pula air setitik dilautkan untuk memburukkan UMNO. Maka kitalah yang perlu tampil, bukan untuk menidakkan tuduhan dan hidup dalam penafian akan tetapi untuk sebenarbenarnya, membudayakan sentimen anti-rasuah dalam UMNO, memperkukuhkan akauntabiliti terhadap kepimpinan, membangunkan sistem semak dan imbang dalam parti, semua demi merombak budaya politik UMNO dan mencorak arah tuju baharu.

Masih ada yang perlu diperjuangkan, jangan putus asa; masih banyak yang perlu dicapai jangan putus harapan. Ramai yang telah mencuba, ramai lagi yang akan mencuba. Masih ramai yang melihat UMNO sebagai kompas politik Melayu. Maka tanggungjawab kita untuk memastikan kompas itu tak dimanipulasikan, dan kekal menunjuk jalan yang benar dengan menjalankan penilaian semula parti dari segi polisi-polisi, sentimen serta pendekatan, dan perincian arah tuju parti.

Badan Perhubungan Negara United Kingdom dan Eire (BPN UK)
Oleh: Muhammed Nazhrin FS
Ketua Penerangan BPN UK

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.