PRK Slim: Calon BN Adalah Calon Antarabangsa – Saarani

TANJUNG MALIM, 20 Ogos – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim, Datuk Saarani Mohamad akan memastikan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz menang untuk mewakili rakyat Slim.

Jelas beliau, calon PRK ini adalah calon yang terbaik dari yang terbaik malah pernah mewakili belia Felda hingga ke peringkat antarabangsa.

“Tidak silap kita pilih calon ini, tidak rugi orang di Gunung Besout ini memberikan undi kepada calon ini sebab calon ini adalah calon yang berkelayakan. Calon yang kita yakin dengan keputusan akademik yang dia dapat dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta pengalaman dia dengan masyarakat belia.

“Beliau bukan saja tokoh yang boleh bersidang di Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan saja tokoh yang boleh berucap dalam Malaysia tetapi beliau pernah mewakili Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk bersidang di peringkat antarabangsa, bermakna tokoh ini adalah tokoh antarabangsa.

“Ramai calon yang kita bawa akan dipertimbangkan, semua calon yang dibawa dalam pertimbangan itu adalah calon yang hebat-hebat belaka dan calon yang berkelayakan tinggi. Sudah tentu yang kita pilih ini adalah yang terbaik di antara yang terbaik,” katanya ketika berucap di perkarangan Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Gunung Besout 2, malam tadi.

Turut hadir pada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad; Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta pengundi-pengundi di Gunung Besout 2.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan mengharapkan agar pengundi-pengundi di DUN Slim dapat memilih Mohd Zaidi yang hampir dengan masyarakat.

“Kita nak pilih pemimpin yang baik, kita nak pilih pemimpin yang dapat bersama-sama dengan kita. Pemimpin yang dapat menyelami hati nurani termasuk rakyat di bawah kawasan Felda Gunung Besout dua ini.

“Insya-Allah… mari kita doakan bersama -sama kepada Allah akan menghantarkan tangan-tangan kita ke kotak nombor dua iaitu kotak undi yang menempatkan nama calon BN,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit