Jangan Ulangi Kesilapan PH Cabul Prinsip ‘Rule of Law’ – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi tegas berkata walaupun kerajaan Persekutuan berubah, beliau menggesa agar jangan diulangi kesilapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu yang mencabuli prinsip ‘Rule of Law’ atau Kedaulatan Undang-undang.

Ini katanya, berikutan tindakan PH sebelum ini banyak menarik balik kes-kes mahkamah yang melibatkan kepimpinan parti mereka.

“Biarlah mahkamah berjalan secara mandiri dan tidak lagi dikuasai oleh pihak eksekutif sebagaimana zaman Perdana Menteri Keempat.

“Hormati prinsip Perlembagaan berkenaan dengan ‘separation of power’ atau pengasingan kuasa antara pihak eksekutif, legislatif dan judiciary (kehakiman),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, sebaik sahaja PH memegang tampuk pemerintahan negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, beberapa pemimpin mereka yang sedang dibicarakan dilepas bebas dari sebarang pendakwaan seperti Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng dari kes rasuah dan pecah amanah pembelian sebuah banglo ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Terbaharu, beberapa suspek yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran dari Dap dan beberapa ahli dari parti itu turut dilepas dan dibebaskan juga oleh Peguam Negara Tommy Thomas yang baharu sahaja meletakkan jawatan.

Justeru ulas Dr Asyraf lagi, beliau amat menghormati pendirian Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul yang memberi komitmen tetap mahu meneruskan kes yang melibatkan mereka di mahkamah.

“Tabik hormat saya kepada YB Presiden Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan YB Datuk Seri Najib Razak kerana tegas mahu terus berjuang membersihkan nama mereka di mahkamah,” katanya sambil meninggalkan tanda pagar #RuleOfLaw di akhir hantarannya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit