UMNO Terus Diperkukuh, Kembalikan Kekuatan Sebagai Wadah Politik Semua Bangsa

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kepimpinan UMNO telah meletakkan secara jelas hala tuju parti iaitu mahu mengembalikan semula kekuatan UMNO sebagai wadah politik orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia yang majmuk.

Jelas beliau, semua ini amat penting dan ia wajar dilakukan dengan baik.

“Misi kita bersama adalah untuk mengembalikan UMNO menjadi parti yang berkuasa dan memerintah di peringkat persekutuan dan negeri-negeri.

“Sudah pasti UMNO bersama PAS dan rakan-rakan parti yang lain akan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional dan muafakat ini mestilah menjadi yang terbaik berbanding Pakatan Harapan (PH),” ujar beliau selepas perjumpaan bersama Penerangan UMNO bahagian-bahagian Negeri Selangor baru-baru ini.

Namun begitu jelasnya, dalam apa keadaan sekalipun, perpaduan sesama pemimpin dan ahli adalah sangat penting dalam memastikan agenda ini tercapai dengan jayanya.

“Adalah menjadi kewajipan kita sebagai ahli parti memelihara perpaduan sesama kita kerana bila kita kuat, bila UMNO dan BN juga Muafakat Nasional hebat, pasti ramai akan bersama dan menyokong kita.

“Justeru, janganlah kita berbalah sesama sendiri dan kita harus terus bersatu mengukuhkan muafakat yang telah kita bina agar ia menjadi satu tembok utuh yang tidak mampu diruntuhkan oleh mana-mana pihak,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.