Dap Adalah Sebahagian Kegagalan Pemerintahan PH – Shabery

KUALA LUMPUR, 17 Feb – AhIi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery berpandangan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal, Dap adalah sebahagian dari kegagalan itu kerana sepanjang pemerintahannya, tidak ada satu pun langkah yang betul-betul boleh dibanggakan sebagai trajektori melonjakkan negara ke satu tahap yang lebih hebat.

Menurut beliau Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berbangga dengan Tun Razak Exchange (TRX) iaitu (projek IMDB), manakala Timbalan Yang Di pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pula berbangga dengan West Coast Expressway yang semuanya dibuat oleh kerajaan dahulu dan tidak ada apa yang signifikan dibuat oleh Teresa Kok atau Kulasegaran yang lain dari yang lain.

“Kalau pun ada lain dari yang lain ialah cerita-cerita pemimpin mereka merasmi pagar, lift, paip air dan pembahagi jalan. Memang lain tetapi memalukan. Mereka berbangga dengan pendakwaan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan beberapa pemimpin terdahulu sebagai langkah pembersihan. Namun mereka tak boleh padam tanggapan bahawa ini adalah hanya pendakwaan terpilih bersifat dendam.

“Kenapa kes Guan Eng dan terowong ditutup? Kenapa kes Adib hilang begitu sahaja? Ini bukan reformasi institusi yang digambarkan sebelum ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Shabery lagi ekonomi negara yang dipimpin oleh ketua Dap terus merudum dan rakyat semakin perit, adalah bukti terbesar kegagalan parti berkenaan untuk menjadikan negara ini lebih baik dari yang dahulu.

“Naratif Dap gagal… roket Dap tidak membawa kemana-mana. Hebat sewaktu pelancarannya, tetapi dunia sedang melihat ia sedang terbakar dan menjunam jatuh kebumi, bersama harapan yang dibawanya,” ujar beliau.- UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79