Berniat Jahat: Veteran UMNO Dan Assabiqun PAS Desak Guang Eng Dipecat

 

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Veteran UMNO bersama-sama Assabiqun PAS Malaysia menyelar kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai kononnya bakal diwujudkan Pakatan Nasional yang disifatkan berbaur hasutan, berniat jahat dan boleh mengancam perpaduan dikalangan rakyat Malaysia.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu mengambil tindakan segera dengan memecat Guan Eng kerana kenyataan Guan Eng itu adalah bersifat Islamofobia yang boleh mengundang keresahan dan kebimbangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Menteri Kabinet. Guan Eng juga seolah-olah tidak memahami sejarah dan asas negara ini dan Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Perlu difahami bahawa Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua bagi agama Islam di negara ini maka menghormati dan menjaga agama Islam adalah ‘constitutional obligation’ dan sekiranya tidak memahami hakikat ini dengan mengeluarkan kenyataan membenci Islam boleh disifatkan sebagai satu penderhakaan.

“Kenyataan Guang Eng juga secara jelas tidak menunjukkan dirinya sebagai seorang rakyat Malaysia yang taat dan setia kepada Yang Di-Pertuan Agong, menerima Perlembagaan dengan keluhuran dan kedaulatan undang-undang negara kerana dia mengeluarkan kenyataan membenci Islam dan menyemai pemikiran anti Islam di negara ini,” ujar beliau dalam satu sidang media bersama di pejabat Veteran UMNO Malaysia hari ini.

Justeru tambah Othman, Veteran UMNO bersama-sama Assabiqun PAS Malaysia turut mendesak agar Guan Eng memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas sikap dan niatnya yang menghina Islam.

“Kami menyeru agar Guan Eng tidak lagi mengulangi ucapan atau kenyataan yang berbaur hasutan, rasis dan membuat tuduhan yang tidak tepat sehingga menimbulkan salah faham yang boleh merosakkan perpaduan yang sudah lama terjalin di negara ini,” tegas beliau.

Untuk rekod, Guan Eng berkata, pembentukan Pakatan Nasional adalah bagi membenarkan PAS dan BN mengambil alih PH dan kerajaan Malaysia menerusi pintu belakang dan ini adalah bahaya kepada rakyat Malaysia kerana ia adalah satu pakatan yang didominasi oleh Muslim dalam kerajaan Persekutuan, secara terbuka menentang Perlembagaan Persekutuan dan institusi demokratik serta bukan Islam.

Guan Eng turut mengingatkan rakyat bahawa negara ini akan ditarik ke zaman gelap sekiranya penubuhan sebuah kerajaan yang memusuhi minoriti bukan Islam itu menjadi kenyataan.

Menurutnya, penubuhan Pakatan Nasional akan mengundang bahaya kepada cara hidup rakyat negara ini bersandarkan kenyataan beberapa pemimpin PAS secara terang menolak pelantikan pemimpin bukan Islam sebagai menteri kabinet terutama jawatan penting seperti Menteri Kewangan meskipun tiada halangan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang amalan politik pemimpin PAS dan UMNO yang berbahaya, memudaratkan dan merosakkan adalah konsisten dengan beberapa kenyataan bersifat perkauman dan menyentuh sentimen keagamaan dimainkan mereka yang dikecam MCA dan MIC sendiri.

“Antaranya membantah penyaluran dana sekolah vernakular, boikot produk dan bisnes bukan muslim, melarang orang bukan Islam menjadi menteri kabinet, menolak hak pengundi India dan Cina untuk mengundi, mempersoalkan kaedah sambutan dan amalan keagamaan bukan Islam serta menyebarkan pembohongan terhadap bukan Islam.

“Selain itu, kerajaan Pakatan Nasional akan membawa zaman gelap seperti di Kelantan,” ujar beliau menerusi satu kenyataan. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.