Muafakat Nasional: Jangan Ubah Kenyataan Saya – Ahmad Zahid
KIMANIS, 2 Jan – “Gagasan Muafakat Nasional harus dipersesuaikan dengan situasi politik di Sabah kerana latar belakangnya berbeza… itu kenyataan saya, noktah!” tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian membidas laporan media yang tidak tepat dan cuba memanipulasikan kenyataannya.
“Saya minta sesiapa sahaja yang membuat liputan terhadap ucapan saya, jangan ada agenda untuk mengubah apa yang saya maksudkan.
“Beribu yang datang (program Ceramah Perdana malam tadi) dan mereka jelas termasuk pemimpin PAS, begitu juga pemimpin UMNO di Sabah.
“Oleh yang demikian, saya berharap mereka memperbetulkan laporan yang kononnya saya mengatakan Muafakat Nasional tidak sesuai di Sabah. Jadi tolong betulkan kalau mereka ikhlas dan jujur.
“Kebenaran tetap kebenaran. Jangan cuba untuk pusingkan fakta yang saya sampaikan. Saya ulangi, Gagasan Muafakat Nasional harus dipersesuaikan dengan situasi politik di Sabah… ini cukup jelas,” ujar beliau.
Untuk rekod, Malaysikini melaporkan kononnya Zahid berkata, Muafakat Nasional, sebuah kerjasama politik yang diketuai UMNO-PAS, kurang sesuai dengan keadaan politik di Sabah.
Sebelum itu, Zahid telah menghadiri program ramah mesra dan pelancaran jentera di PDM Gadong. – UMNO ONLINE
Oleh: Azlina Rosdy