Pertahankan Keharmonian, Saling Menghormati Formula Terbaik Negara Aman Makmur – Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perpaduan dan saling menghormati antara sesama adalah formula terbaik memastikan negara ini terus aman dan makmur.

“Jagalah dan pertahankan keharmonian rakyat berbilang kaum ini daripada dirobek oleh sebarang anasir yang memudaratkan kesatuan kita,” ujarnya dalam satu catatan di Facebook sempena sambutan Hari Natal 2019.

Semasa Perhimpunan Agung UMNO awal bulan lalu, Dr Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya ada memberi penekanan mengenai Politik Ketahanan dan Politik Berimbang yang merupakan modenisasi UMNO.

“Kerana itulah saya yakin Muafakat Nasional adalah medium baharu dan segar, yang akan membawa kita semua melalui lebuhraya politik untuk kembali ke Putrajaya.

“Permuafakatan adalah penyelesaian kepada perpaduan dan keharmonian antara kaum dalam konteks masyarakat majmuk bagi menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Begitu juga ulasnya, kuasa politik adalah kunci kepada survival anak cucu bangsa sebagai bangsa asal Nusantara.

“Tanpa kuasa politik, kita tidak mampu berbuat apa-apa selain mengikut telunjuk mereka.

“Muafakat Nasional akan menjadi naratif politik baharu ‘a new political narrative’ dan bukan hanya gabungan biasa,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.