PRK Kimanis: Jentera Mantap Pastikan Gerak Kerja Lancar – Azmi

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohamad Azmi Amir Husin menjelaskan persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis lancar dengan jentera Barisan Nasional (BN) mantap bagi pastikan kemenangan.

Katanya, kebanyakan jentera parti sudah mula turun padang dan berkampung di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk bersiap sedia berkempen bagi membantu dan memastikan kemenangan calon BN dalam PRK Kimanis ini.

“Setakat hari ini persiapan UMNO Sabah menjelang PRK Kimanis sangat baik dan ramai jentera-jentera seluruh Negeri sudah mula berkampung. Jentera parti bersiap sedia di semua peringkat dan bertungkus-lumus bersedia menjelang hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen nanti.

“Semua PDM di kawasan Kimanis sudah disusun termasuklah dari kalangan sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri, segala tugasan telah diberi kepada mereka yang dipertanggungjawabkan. Boleh dikatakan persiapan PRK telah siap mengikut jadual yang diberi,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Sementara itu, Azmi turut melahirkan keyakinan bahawa BN akan terus dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis.

“Saya amat yakin PRK kali ini BN akan menang walaupun bukan dengan laluan yang mudah kerana kita berdepan dengan parti kerajaan yang mempunyai pelbagai jentera kerajaan yang mereka boleh gunakan tapi kita juga mempunyai jentera yang telah bersiap sedia sepenuhnya,” ujarnya.

Untuk rekod, PRK Kimanis diadakan kerana Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan.

Hari penamaan calon PRK KImanis ini pada 4 Januari, pengundian awal pada 14 Januari manakala hari mengundi pada 18 Januari. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.