Setelah Setahun Tujuh Bulan, PAU 2019 Berbeza Semangat

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2019 (PAU 2019) yang akan bermula esok sehingga Sabtu sudah pasti membawa semangat baru bagi perwakilan dan pemerhati, berbeza dengan PAU 2018 tahun lalu.

Apa tidaknya, banyak rentetan peristiwa pilu yang dilalui UMNO pada tahun lalu telah diimbangi satu persatu dengan pencapaian positif parti keramat kaum Melayu berusia 73 tahun itu di sepanjang 2019.

Semangat ahli UMNO teruk dirobek bermula kekalahan perit Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018. Bukan sahaja kalah di beberapa negeri yang sebelum itu dikuasai UMNO seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Sabah, malah gagal mempertahankan Kerajaan Pusat yang dikuasai sejak pilihan raya pertama 61 tahun lalu.

Kepiluan itu ditambah lagi dengan kerakusan rejim kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) mengenakan tekanan bermotif politik terhadap UMNO dan para pemimpinnya termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan bekas Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tekanan di luar kebiasaan politik daripada pihak kerajaan yang tidak pernah berlaku terhadap parti pembangkang itu terpaksa dihadapi UMNO. Paling tragis apabila akaun bank UMNO dibekukan sehingga hampir melumpuhkan perjalanan parti itu.

Bilangan parti komponen BN mengecil dengan begitu mendadak kepada hanya tiga parti teras sahaja, iaitu UMNO, MCA dan MIC apabila parti-parti lain mengangkat kaki dan membawa haluan masing-masing.

Tiga bulan selepas PRU-14, sekali lagi UMNO dikecewakan dengan kekalahan calonnya mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos 2018.

Ini diikuti kemenangan PH dalam dua lagi PRK di Selangor iaitu di Seri Setia dan Balakong pada 8 September 2018, biarpun BN tidak meletakkan calon. Di Seri Setia ditandingi parti PAS, sementara Balakong oleh MCA yang menggunakan lambang partinya sendiri.

Selepas peristiwa-peristiwa pahit inilah UMNO mengadakan PAU 2018 pada 28 hingga 30 September tahun lalu. Itulah buat pertama kalinya perhimpunan UMNO, parti Melayu terbesar itu diadakan ketika kuasa negara tidak lagi di tangan. UMNO berada di bawah kepimpinan baru diterajui Zahid dan Timbalannya Datuk Seri Utama Mohamad Hasan selepas pemilihan parti pada 30 Jun 2018.

PAU 2018 diadakan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen selaku calon PRK di kerusi Parlimen Port Dickson yang sengaja dikosongkan bagi membolehkan Presiden PKR itu meletakkan dirinya sebagai pengganti Perdana Menteri. Sama seperti di PRK Seri Setia, UMNO dan BN sekali lagi tidak meletakkan calon di Port Dickson.

Biarpun kerjasama UMNO dan PAS mula berputik ketika PRK Sungai Kandis dan Seri Setia dengan masing-masing tidak meletakkan calon menentang antara satu sama lain, namun kedua-dua parti telah mengorak langkah dengan lebih ke hadapan selepas itu.

Tujuannya untuk memperkukuhkan kesepakatan dua parti Melayu terbesar itu bagi maksud penyatuan ummah dan bersama menghadapi rejim PH.

Buat pertama kalinya para pemimpin dua parti Melayu terbesar disatukan di atas pentas yang sama dalam program Himpunan Penyatuan Ummah di Kampung Gajah, Pasir Salak pada 17 November 2018.

Himpunan yang turut disertai Zahid dan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dihadiri hampir 50,000 umat Melayu-Islam dari seluruh negara. Sudah pasti tidak lengkap jika pujian tidak diberikan kepada pengerusi penganjur, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak selaku tuan rumah yang bertungkus lumus menjayakan himpunan yang bersejarah itu.

Penyatuan ummah PAS-UMNO bertambah kukuh melalui satu lagi himpunan pada 8 Disember 2018 bersebelahan Dataran Merdeka Kuala Lumpur, iaitu himpunan membantah tindakan Kerajaan PH merektifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Seramai kira-kira 500,000 umat Melayu Islam yang terdiri daripada penyokong PAS dan UMNO serta badan-badan NGO hadir dalam himpunan terbesar dalam sejarah tanahair dekad ini.

Namun UMNO kembali muram sepanjang Disember 2018. Pada 12 Disember, lima Ahli Parlimen UMNO Sabah iaitu dari Kudat, Beaufort, Libaran, Beluran dan Sipitang mengumumkan keluar parti.

Dua hari kemudian pada 14 Disember, enam lagi Ahli Parlimen, iaitu dari Larut, Sabak Bernam, Tanah Merah, Hulu Terengganu, Mersing dan Tasek Gelugor pula meninggal, iaitu meninggalkan UMNO.

Beberapa bulan sebelum itu beberapa orang Ahli Parlimen bertindak keluar UMNO. Bermula pada 24 Jun 2018 (Bagan Serai), 26 Jun 2018 (Bukit Gantang), 1 Julai 2018 (Tanah Merah), 18 September 2018 (Jeli), 19 September 2018 (Kimanis), 11 Oktober 2018 (Labuan).

Perkembangan politik yang tidak menentu ini, ditambah desakan dalaman telah menyebabkan Zahid menyerahkan tugas selaku Presiden UMNO kepada timbalannya Mohamad Hasan. Pelbagai andaian politik dibuat oleh pendokong dan pemerhati politik berikutan keputusan Zahid itu, namun UMNO perlu terus mengorak langkah ke hadapan.

Apa yang berlaku di dalam UMNO itu tidak merencatkan usaha penyatuan ummah bersama PAS. Di bawah teraju Tok Mat, penyatuan umat Melayu melalui UMNO dan PAS menjadi semakin kukuh dan dibuktikan dalam tiga pilihanraya kecil pada awal tahun 2019.

BN telah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highland pada 26 Januari, merampas kerusi DUN Semenyih (2 Mac) dan mengekalkan kerusi DUN Rantau (13 April).

Kejayaan-kejayaan besar inilah menjadi penyebab pemimpin parti kerajaan jadi tak keruan, terutamanya daripada Dap yang mula menghidu sesuatu yang buruk bagi mereka hasil kerjasama erat umat Melayu melalui UMNO dan PAS ini.

Kebimbangan mereka ditambah pula dengan populariti Najib yang semakin meningkat di hati rakyat sejak awal Januari 2019, khususnya di kalangan orang muda melalui ‘troll-troll’ di sosial media yang penuh fakta dan ada masanya melucukan.

Slogan ‘Malu Apa Bossku’ yang digunakannya juga menjadi ‘trending’ yang menyenangkan hati rakyat, tetapi menimbulkan rasa gundah gulana di pihak PH.

Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan menggangap kerjasama UMNO dan PAS ini sebagai satu pengisytiharan perang terhadap bukan Melayu. Niatnya untuk menakutkan orang bukan Melayu, terutamanya Cina.

Pengerusi Dap Perak, Nga Kor Ming juga cuba menakutkan rakyat bukan Melayu dengan mengatakan bahawa jika UMNO dan PAS menang dalam PRU-15, Malaysia akan ditadbir oleh sebuah kerajaan ala-Taliban di Afghanistan.

Selepas istilah kleptokrasi berjaya mengelirukan rakyat sebelum PRU-14, pemimpin vateran Dap Lim Kit Siang cuba pula memperkenalkan istilah baru, klepto-teokrasi bagi mengambarkan “doktrin politik di Malaysia yang menyalahguna Islam untuk menyokong rompakan, rasuah, tiada toleransi, ketaksuban, pembohongan dan penipuan”.

Kit Siang seolah-olah menggambarkan kerajaan yang bakal dipimpin oleh UMNO dan PAS dipenuhi pemimpin yang korup menggunakan kuasa dan kononnya akan muncul pentadbiran ulamak yang akan menarik negara ini mundur ke belakang.

Namun Kit Siang seperti kucing tua menyorok di bawah kerusi ketika menolak untuk berdebat Najib, debat yang pada awalnya dicadangkan oleh Kit Siang sendiri. Cadangkan debat tapi kucing tua ini yang ‘lari malam’.

Biar apapun tohmahan PH dan Dap terhadap kerjasama UMNO dan PAS, kepimpinan dua parti Melayu-Islam itu tidak lagi menoleh ke belakang dan mengambil langkah memeterai satu gagasan kerjasama politik yang lebih membingungkan pihak kerajaan.

Piagam kerjasama yang dinamakan Muafakat Nasional dimeterai oleh kepimpinan UMNO dan PAS pada 14 September 2019 di Dewan Merdeka, PWTC, tempat PAU diadakan setiap tahun sejak sekian lama.

Dua Presiden parti Melayu menandatangani piagam ini, iaitu Hadi dari PAS dan Zahid yang mengumumkan kembali memimpin UMNO pada 30 Jun.

Muafakat Nasional bukan sahaja sebuah gagasan kerjasama antara UMNO dan PAS, tetapi melibatkan parti-parti politik lain di Malaysia termasuk parti anggota BN dan Gagasan Sejahtera.

Selepas termeterainya gagasan Muafakat Nasional, berlaku satu lagi PRK, iaitu di Parlimen Tanjong Piai, Johor. BN yang meletakkan calon dari parti MCA mencapai kemenangan besar dan merampas kerusi itu dari PH dengan majoriti 15,086 undi pada 16 November 2019.

PAU 2019 diadakan 18 hari selepas kejayaan cemerlang BN di PRK Tanjong Piai. Sudah pasti semangat Tanjong Piai akan menguasai PAU kali ini. Semoga semangat ini berkekalan sehingga Muafakat Nasional berjaya menawan Putrajaya dalam PRU-15 nanti.

Selamat bersidang. – UMNO ONLINE

Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim
Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan N58 Slim

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.