Tanjung Piai Dan Jangka Hayat PPBM

PENDUDUK Tanjung Piai telah memutuskan untuk menolak Pakatan Harapan. Bukan sedikit dan kecil-kecilan. Bukan sekadar mesej ringan bersifat sipi-sipi. Tetapi, penolakan besar-besaran yang sangat mengaibkan.

Kekalahan BN dalam PRU14 di Tanjung Piai sebelum ini dengan majoriti kira-kira 500 lebih undi bukanlah sesuatu yang sangat menyedihkan. Namun, kemenangan besar dengan majoriti melebihi 15 ribu undi sudah pasti sesuatu yang sangat menggembirakan.

Ada beberapa maksud besar dari keputusan ini.

Pertama, keputusan PRK Tanjung Piai adalah bukti nyata betapa PPBM semakin tidak diterima oleh orang Melayu. Parti ini tidak diyakini dan tidak mewakili suara orang Melayu. Apatah lagi kepentingan dan isu-isu orang Melayu.

Sebaliknya, kekuatan UMNO dan rakan komponen kami dalam BN masih sangat utuh di peringkat akar umbi. PPBM tidak akan dapat sama sekali mengganti UMNO dari segi pengaruh, bakti dan khidmat di kalangan orang Melayu. PPBM mesti mula menerima hakikat ini. Jangan berdolak-dalik lagi. Jangan cuba menyedapkan hati lagi.
Malah, Tanjung Piai ini petanda bahawa PPBM tidak akan punya hayat yang lama dalam persada politik Malaysia. Era pasca Tun Mahathir nanti akan turut menjadi era politik Malaysia pasca PPBM.

Kedua, PPBM gagal mendapat kepercayaan masyarakat Cina. Sekalipun mereka bermuka-muka dengan menyatakan mereka adalah parti untuk semua, nampaknya mereka tidak lebih dari sekadar bertepuk sendirian. Masyarakat Cina telah menolak PPBM dengan lantang. Bagi mereka, parti ini tidak sedikit pun mewakili Pakatan Harapan.

Di Tanjung Piai, masyarakat Cina mengundi MCA bukan kerana MCA ini sempurna dan tiada kekurangan. Bukan. Tetapi kerana orang Cina ingin memberi pengajaran kepada PPBM dan Tun Mahathir. Jangan terus berselindung di sebalik retorik kesederhanaan sedangkan hakikatnya pergerakan mereka bersikap perkauman yang sangat menebal lagi jelik.

Ketiga, seperti yang saya telah katakan sebelum ini, Tun Mahathir tidak lagi mempunyai kewibawaan untuk memimpin Malaysia. Beliau telah hilang pesona dan magisnya. Sentuhannya sudah tidak menjadi. Gertakannya sudah tidak lantang. Sindir perlinya sudah tidak pedih dan menyengat.

Jasa besar beliau akan terus kita kenangkan. Masa silam Malaysia yang maju di bawah terajunya akan terus kita akui dan banggakan. Namun, masa hadapan Malaysia terlalu berharga untuk kita masih cagarkan pada beliau.

Tanjung Piai adalah referendum rakyat yang jelas menolak kepimpinan beliau. Tidak pernah dalam sejarah pilihan raya Malaysia, seorang Perdana Menteri berkempen begitu gigih seperti yang beliau lakukan di Tanjung Piai namun masih tersungkur teruk dengan majoriti yang mengaibkan.

Kepada Tun Mahathir, jika Tun dan kroni Tun masih berdegil dan beranggapan bahawa Tun adalah penyelamat Malaysia, Tanjung Piai telah membuktikan sebaliknya. Dengan janji-janji projek jutaan ringgit, imbuhan nelayan yang turun secara tiba-tiba, idea pembangunan pelancongan Tanjung Piai dan segala macam lagi gula-gula yang diumpankan, PPBM tetap gagal.

Keempat, pengundi Malaysia, baik Melayu atau Cina, adalah rasional. Mereka hanya ada satu kesetiaan dalam berpolitik. Iaitu kesetiaan kepada mereka yang benar pada janji dan benar dalam khidmat.

Oleh kerana PH telah mungkir dan gagal dalam tanggungjawab mereka kepada rakyat Malaysia, maka pengundi berbilang bangsa menolak mereka tanpa simpati. Inilah bukti bahawa pengundi menjadikan manifesto sebagai perkara penting. Biarpun ia bukan kitab suci, ia adalah tali yang mengikat ahli politik dan sebuah kewibawaan.

Bila manifesto gagal dilaksanakan, pengundi tanpa berlengah menolak PH. Mereka tidak mahu menunggu lima tahun. Mereka tahu, kalau dalam 18 bulan pertama, PH telah gagal, lima tahun adalah masa yang terlalu lama untuk menghukum kegagalan tersebut.

Kelima, kerjasama UMNO dan PAS sekali lagi membuktikan keberkesanannya sebagai formula yang ampuh untuk masa depan Malaysia. Pengundi Cina Tanjung Piai sedar dan faham bahawa kerjasama ini tidak akan menjadikan Malaysia negara Taliban. Kerjasama ini bukan deklarasi perang ke atas bukan Melayu. Tetapi, ia adalah ‘political force’ yang sebenar kepada orang Melayu yang tidak pun memberi ancaman kepada bukan Melayu.

Kerjasama UMNO-PAS dalam kerangka Muafakat Nasional bukan sahaja akan terus memberikan kemenangan kepada BN. Tetapi, inilah jalan ke hadapan untuk Malaysia.
Walaupun MCA tidak pernah menerima atau memberikan ‘endorsement’ rasmi kepada Muafakat Nasional, UMNO dan PAS terus memenangkannya dengan ikhlas tanpa syarat. Pada kami, ini adalah sikap dan amalan politik yang matang dan berpandangan jauh.

Yang kami lihat dan sedar, kekuatan MCA dan MIC harus disokong kuat dengan pengaruh UMNO dan PAS. Hanya dengan yang demikian, MCA, malah MIC, akan menang. Dan begitulah sebaliknya, MCA dan MIC mesti gunakan pengaruhnya untuk memberi kekuatan kepada UMNO dan PAS. Perkara ini akan menjadi fokus bersama untuk diperkemas selepas ini. Dan sudah tiba juga masanya MCA memikirkan jalan kehadapan dalam hubungannya dengan Muafakat Nasional.

Tahniah MCA dan selamat berkhidmat kepada YB Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng. Terima kasih Tanjung Piai, terima kasih UMNO, terima kasih PAS, terima kasih MIC dan terima kasih semua yang bersama-sama menjayakan kemenangan manis ini.

Mohamed Khaled Nordin(MKN)
Naib Presiden UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.