PRK Tg Piai: BN Menang Besar, PH Tersungkur… ‘Bunga’ Semakin Layu
TANJUNG PIAI, 16 Nov – Setelah berjaya mencipta hatrik di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, Barisan Nasional (BN) sekali lagi mencipta kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan empat yang lain.
Wakil BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memperoleh undi dengan majoriti sebanyak 15,086 undi berbanding lima yang lain.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Tanjung Piai, Zulikifly Mohd Tahir di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.
Ini merupakan kemenangan buat kali kedua BN ke atas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mewakili PH, diketuai oleh pengerusinya yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum ini BN merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dari PPBM dengan majoriti 1,914 undi setelah tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dengan majoriti 8,964 undi.
Karmaine Sardini dari PH-PPBM memperolehi 10,380 undi; Gerakan Wendy Subramaniam 1,707 undi dan Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz 850 undi.
Manakala dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lok mendapat 380 undi dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar 32 undi.
Ketika pengumuman dibuat, Dr Wee turut berada di dalam dewan sambil diiringi pemimpin-pemimpin BN dan rakan-rakan parti serta PAS.
Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan kegembiraan penyokong dan jentera yang berada di dalam dan luar dewan mahupun yang berada di Bilik Gerakan Utama BN.
Kemenangan BN juga sebagai tanda Muafakat Nasional diterima oleh rakyat khususnya di Tanjung Piai di mana komposisi kaum antara Melayu dan Cina serta lain-lain di kawasan tersebut tidak jauh berbeza.
Dr Wee merupakan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai yang berpengalaman sebagai Ahli Parlimen di kawasan yang sama sebelum ini pada tahun 2008 hingga 2018 dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas.
Dr Wee juga merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam kabinet BN.
Seramai 52,986 orang pengundi terlibat proses demokrasi tersebut, yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan 8 orang pengundi tidak hadir (luar negara) berdasarkan Daftar Pemilih Suku Tahun Kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September.
Hari ini, sebanyak 27 pusat mengundi dibuka bermula pukul 8 pagi dengan 125 saluran disediakan bagi memudahkan proses pengundian dan ditutup pada jam 5.30 petang.
Selasa lalu, 12 Nov sebanyak 91 peratus daripada 280 pengundi awal menunaikan hak mereka di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari PPBM yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.
PRK Tanjung Piai adalah PRK kelapan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); DUN Semenyih (2 Mac 2019); DUN Rantau (14 April 2019); dan Parlimen Sandakan (11 Mei 2019).
Terima kasih tidak terhingga kepada pengundi dan rakyat Tanjung Piai yang memberi kepercayaan kepada BN dan tidak lupa juga kepada semua jentera parti termasuk rakan Muafakat Nasional, PAS dan lain-lain. #TanjungPiaiTolakPakatan – UMNO ONLINE