Kredibiliti Dap ‘Rosak’ Jika Nafi Terlibat Pengedaran Komik Propaganda – Najib

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekiranya Dap mengambil tindakan menafikan keterlibatan mereka dalam isu komik propaganda yang dikatakan mempromosikan ideologi komunis maka ia akan merosakkan kredibiliti Dap itu sendiri.

Jelas beliau, rakyat tidak akan percaya penafian Dap itu kerana kata-kata pengantar yang dimuatkan dalam komik tersebut adalah daripada pemimpin Dap sendiri.

“Dalam soal isu komik ini, saya telah membuat huraian dari awal hingga sekarang apa yang berlaku… kalah Dap nak nafikan penglibatan mereka, kredibiliti mereka akan rosak.

“… dan saya menyokong tindakan Maszlee (Menteri Pendidikan) menyekat pengedaran buku tersebut,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen semalam.

Isu komik ini mula mendapat perhatian apabila Najib memuatnaik status di media sosialnya mempersoalkan sama ada Menteri Pendidikan memberi kebenaran untuk komik tersebut diedarkan di sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di negara ini.

Najib turut memuat naik gambar dan sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tersebut yang didakwa menyebarkan propaganda itu.

Pada sesi pagi sidang Dewan Parlimen semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah menolak usul yang dibawa oleh blok pembangkang untuk membahas itu berkaitan pengedaran buku komik tersebut.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Speaker itu adalah sesuatu yang tidak wajar. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit