PRK Tanjung Piai Pasti Beri Impak Kepada Landskap Politik Negara
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bukan sahaja menjadi medan ujian kerajaan Pakatan Harapan (PH) malah ia menjadi gelanggang sulung bagi Muafakat Nasional yang menjadi menjadi tumpuan dan detik bersejarah kepada politik nasional.
Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaludin, sudah pasti UMNO perlu ada kata sepakat dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya MCA dan PAS juga perlu ada toleransi dengan Gagasan Sejahtera.
“Maklumat penting seperti majoriti kemenangan hanya 524 undi, 32% pengundi kaum Cina mengundi calon BN MCA di kala tsunami, 841 undi rosak, kerusi tradisi MCA, momentum Muafakat Nasional terhadap kaum Melayu, komen negatif Dap terhadap Muafakat Nasional dan isu kepincangan kerajaan PH semestinya akan menjadi asas kepada pemilihan calon di PRK kali ini.
“Perspektif pemilihan calon PRK Tanjung Piai hendaklah dilihat dari sudut gambaran besar dan bukan hanya tersekat di peringkat parlimen atau negeri. Impak pemilihan calon kali ini pasti akan mencorak landskap politik di peringkat nasional termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sentimen rakyat atas pagar atau tiada parti yang mewakili lebih 60% pengundi juga perlu diambil kira. Kesan negatif pasti akan dirasai jika pihak berkepentingan tidak berjiwa besar dan membuat keputusan tanpa analisis fakta secara menyeluruh,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut Fairuz berkata, sudah pasti keputusan pemilihan calon kali ini akan berkisar kepada kepentingan semangat kerjasama antara parti dan bukan individu.
“Impak terhadap masyarakat berbilang kaum di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak perlu juga diambil kira.
“PRK kali ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan PH sebagai kerajaan. Kerajaan PH akan kekal memerintah. Tetapi bacaan ukuran kecenderungan sokongan rakyat terhadap pembangkang pasti dapat dianalisa untuk strategi akan datang,” kata Pengerusi Sekretariat Tunas Muda itu.
Tambahnya, PRK kali ini juga merupakan ujian pertama inisiatif Muafakat Nasional.
“Secara dasarnya, erti muafakat adalah perbincangan yang mempunyai kata sepakat. Imej dan persepsi Muafakat Nasional ini perlu ditatang supaya impak positif inisiatif ini sampai kepada semua rakyat Malaysia.
“Kesepakatan pembangkang pada kali ini amat penting sebagai signal kepada rakyat bahawa barisan pembangkang kali ini lebih teguh dan utuh berbanding PH yang semakin tidak boleh diharap. Hubungan sesama mereka semakin retak menanti belah,” tegasnya.
Justeru katanya, sebagai ahli parti, menjadi tanggungjawab semua untuk menyokong penuh siapa calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi waima dari kalangan ahli UMNO ataupun MCA.
“Fokus utama pembangkang adalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Jangan kerana salah membuat keputusan, pembangkang menang pertempuran kecil tetapi kalah dalam peperangan besar PRU-15,” ujar Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang itu lagi. – UMNO ONLINE