Serangan PH Untuk Meruntuhkan Muafakat Nasional

Sejak kemenangan PH dalam PRU14, kelihatan usaha bersungguh-sungguh dalam wacana penulisan khususnya dalam Bahasa Inggeris yang memberikan gambaran bahawa kemenangan pilihanraya itu menandakan terciptanya satu sejarah politik.

Ia dinamakan Malaysia baru dan tumbangnya politik Malaysia lama yang berteraskan perkauman dan ekstrim.

Naratif yang diciptakan oleh “pakar” dan sarjana pasca-marxist, sosialis, dan liberal demokrat berhempas pulas cuba meyakinkan rakyat bahawa politik UMNO dan PAS adalah sampah sejarah politik Malaysia era lama yang tidak diinginkan sama sekali.

Malah dalam kelompok ahli-ahli politik kerajaan PH seperti Lim Kit Siang turut menggunakan istilah klepto-theocracy, bagi menggambarkan keadaan sebuah kerajaan yang menyalahgunakan Islam untuk merompak harta negara, dan sejarah hitam buat negara sekiranya menerima versi dan naratif politik UMNO-PAS.

Malah yang mengejutkan saya seorang yang digelar sebagai “chief strategist” kepada sebuah parti dalam PH menyamakan peristiwa Piagam Muafakat Nasional UMNO-PAS seperti fenomena kebangkitan Hindu Shastra atau Hindutva yang dibawa oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi, sehingga membolehkan parti pimpinannya BJP mencapai kemenangan mutlak dalam pilihanraya India baru-baru ini.

Begitu juga dengan Dr Mujahid, yang begitu tekun menulis beberapa rencana mempertikai usaha kerjasama UMNO-PAS dan sekaligus memperlekehkan naratif baru politik ummat Islam di Malaysia. Malah dikatakan usaha ini bagai menuju ke jalan neraka.

Apa yang pelik ialah PH boleh pula menggunakan naratif Malaysia Baru, tetapi apabila UMNO-PAS menggunakan naratif politik baru dalam kerangka Muafakat Nasional dikecam dengan pelbagai tuduhan yang dahsyat.

Malaysia hanya ada satu sahaja. Malaysia dibina atas asas perlembagaan yang kukuh. Tidak ada versi baru dan lama. Yang ada ialah pemerintahan kerajaan yang baru.

Tidaklah pula diketahui ada yang tersirat untuk menjenamakan dan membina Malaysia yang baru atas faham ideologi baru, atau menukar corak pemerintahan yang baru.

Pertembungan tentang naratif atas siapa lebih ekstrim dan perkauman terus dilaungkan. Di sebalik serangan terhadap Muafakat Nasional yang dituduh sebagai pakatan rasis dan berhaluan paling kanan (far right), ada yang membangkitkan semula lakaran-lakaran dan ucapan-ucapan lama yang pernah diungkapkan oleh tokoh-tokoh yang sekarang berada di PH.

Barang diingatkan semula kepada kenyataan pemimpin-pemimpin utama PH seperti Tun M dan Muhyiddin sewaktu berada dalam BN, cukup untuk memberi jawaban tentang parti manakah yang lebih bersifat perkauman dan ekstrim.

Tentunya rakyat Malaysia masih segar dengan peringatan Tun M terhadap politik perkauman DAP yang dibawa oleh Lim Kit Siang. Tun semasa menjadi PM ke4 selama 22 tahun dan selepas itu sering mengingatkan bahawa DAP adalah parti paling rasis.

Bagi generasi yang selama tempoh 22 tahun yang setiap hari mendengar kisah parti yang paling rasis tentunya melahirkan sebuah generasi yang dikemudikan oleh kepercayaan politik yang mereka dengar selama ini. Mereka ini melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dengan satu perspektif yang telah sebati.

Ini adalah generasi Mahathirisme yang percaya bahawa DAP adalah parti “far right”, iaitu parti yang sangat chauvinis amalannya dan terlalu sempit pilihan kawasan pengundiannya. Ia juga menjadi “far left” dari segi ideologi yang mahukan Malaysian Malaysia dan kesaksamaan untuk semua.

Tan Sri Muhyiddin pula pernah membuat kenyataan yang cukup lantang mengatakan bahawa DAP adalah parti yang paling rasis di negara ini. Sebelum ini Muhyiddin pernah dicabar oleh Kit Siang samada menjadi seorang Melayu dahulu, atau Malaysia dahulu.

Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang masih terbayang berdasarkan pengalaman melihat DAP adalah parti perkauman yang ekstrim. Beliau menyimpulkan dari pengalaman nyata, bukan teori, ketika bersama dalam Pakatan Rakyat (PR), DAP jelas sebagai parti chauvinis dan rasis.

Namun bagi kerajaan PH, para pendokong dan propagandisnya akan meneruskan serangan terhadap lanskap dan naratif politik baru yang melibatkan penyatuan ummah UMNO-PAS.

Dan orang seperti Kit Siang akan terus mencipta naratif baru untuk musuh-musuh politik DAP.

Orang seperti Dr Rais juga akan terus bertindak menjadi Goebbel PH dengan melakarkan keadaan yang paling buruk terhadap ikhtiar UMNO-PAS ini.

Orang seperti Dr Mujahid pun tidak akan berhenti menanam kebencian terhadap piagam UMNO-PAS, kerana PAN yang menumpang tuah dalam PH akan tergelincir bila Muafakat Nasional benar-benar beroperasi dan menangkap imaginasi ummat Islam di Malaysia.

Namun orang seperti beliau akhirnya mengakui bahawa Malaysia adalah sebuah politik kepelbagaian. Ia memerlukan kerjasama semua kaum.

Bukankah itu yang dibina oleh Perikatan dan BN selama ini sejak negara merdeka? Kenapa baru sekarang menyedarinya?

Inilah yang difahami oleh pimpinan UMNO dan PAS ketika merangka Piagam Muafakat Nasional. Di manakah berbunyi perkauman dan berhaluan paling kanan apabila antara Perisytiharan itu menyebut:

“Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara”

Jangkaan terhadap naratif yang akan dibawa oleh Perpaduan Ummah UMNO-PAS dalam konteks agama dan bangsa yang sempit ternyata meleset, kerana Muafakat Nasional yang diisytiharkan sebaliknya bersifat inklusif dan berteraskan asas perlembagaan.

Namun ia tetap dipaksakan oleh para propagandis untuk menyatakan bahawa Muafakat Nasional adalah seolah-olah perisytiharan jenayah terbesar yang dilakukan UMNO dan PAS terhadap masa depan Malaysia.

Naratif politik Malaysia yang sedang diciptakan oleh para propagandis PH mahukan politik berhaluan paling kanan ( far right politics) yang sangat dibenci dan ditentang oleh dunia hari ini dilekatkan dan ditampalkan ke wajah UMNO-PAS.

Politik berhaluan paling kanan adalah gambaran kepada perjuangan yang sangat ekstrim dan radikal dalam memperjuangkan nasionalisme sempit, politik identiti yang ekslusif, agama yang jumud dan menganggap orang lain sebagai objek kebencian dan perlu menghapuskan mereka dari tanahair.

Ada sekurang-kurangnya dua aliran politik berhaluan paling kanan, iaitu ekstrim dan radikal.

Golongan politik berhaluan kanan yang ekstrim menjadi sangat rasis, mempunyai jalur facist, dan seringkali menggunakan taktik aggresif dan ganas.

Manakala golongan politik berhaluan paling kanan yang radikal pula lebih berjaya membentuk gerakan mereka dengan mengikut jalur demokrasi.

Mereka menyatakan secara terbuka sikap dan dasar serta naratif nasionalisme sivil yang menekankan identiti nasional , anti-immigran, pertentangan nilai dan agama dunia Barat dan kaum pendatang.

Dalam dunia Barat juga ia menyaksikan gerakan yang sangat subur dengan kebencian seperti gerakan Neo-Nazi, white supremacist, serta fascist dengan menyalakan api kebencian kepada orang lain secara terang-terangan.

Bahasa yang digunakan berbaur perkauman (racism) dan xenophobia dengan menjadikan orang Islam dan pencari suaka politik sebagai tumpuan mereka.

Hal inilah yang mahu disamakan dengan perkembangan yang berlaku dalam negara mutakhir ini khususnya perpaduan ummah UMNO-PAS.

Dimanakah logik demokrasi bila dua parti bekerjasama akan menimbulkan suasana tidak demokratik, hari hitam bagi negara?

Apakah Muafakat Nasional adalah satu perisytiharan menolak sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan?

Apakah Muafakat Nasional ini menjadi ekstrim dan radikal dengan membangkitkan kebencian kepada agama orang lain, menyalakan bara kemarahan terhadap bukan pribumi?

Apakah hanya apabila UMNO dan PAS terus bermusuhan, berpecah belah, dan berperang di medan politik, maka ia menjadi demokratik dan tidak ekstrim serta tidak berhaluan paling kanan?

Apakah bila orang Melayu berpecah belah, maka barulah keadaan politik Malaysia menjadi centrist ( berhaluan tengah) dan sederhana ( sederhana)?

Saya fikir kalau propagandis PH khususnya dari DAP berterusan menyerang, ia pasti meningkatkan lagi kesedaran orang Melayu tentang hakikat betapa chauvinis nya DAP sendiri.

UMNO dan PAS perlu membuktikan mereka akan terus berusaha menjadi parti centrist dengan penekanan terhadap kesederhanaan (moderation) dan toleran.

BN adalah contoh politik akomodasi dan consociational ( kongsi-kuasa). Meskipun ada kelemahan tertentu, Ia menjadi acuan penyelesaian konflik yang paling berkesan bagi mengelakkan sebarang masalah menjadi keganasan.

Demikian juga dengan slogan “Negara Berkebajikan” yang dipelopori PAS sebelum ini membawa mesej yang lebih lunak dalam konteks kehidupan pelbagai bangsa dan agama. “PAS Untuk Semua” juga menjadi slogan inklusif yang tidak terbatas kepada kelompok agama Islam dan bangsa Melayu sahaja.

UMNO dan PAS perlu membuktikan politik optimisme dan harapan (hope) kepada rakyat. Usah ditarik ke dalam gelanggang politik pessimisme dan kedukaan (despair).

Dan pastikan ia tidak akan lari dari asas perlembagaan negara. Jika menjadi pendokong UMNO dan PAS, maka jadilah seorang yang mengamalkan nilai agama dan moral, nilai demokratik, nilai universal serta menyuburkan semula nilai integriti dan tadbir-urus yang cemerlang.

Tidak ada salah untuk belajar dari kesilapan lalu. Malah ibrah dari masa lalu akan menjadikan seseorang lebih baik, dan tidak akan mengulangi kesilapan dahulu.

Sentiasalah memerhati dan berwaspada terhadap mereka yang mahu meruntuhkan Muafakat Nasional. Hadapilah dengan hikmah dan sabar, bukan dengan benci dan amarah.

Dr Zambry Abd Kadir
20 Sept 2019

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.