Dah Berkuasa Dalam Kerajaan… Bela, Pertahan Maruah Melayu Bukan Hanya Berkongres, Tegas Annuar
KUALA LUMPUR, 19 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan di mana kejujuran pemimpin-pemimpin Melayu yang telahpun berkuasa dalam kerajaan yang sepatutnya berada di posisi membela orang Melayu tetapi masih mahu berkongres.
“Setelah mereka terus menerus memecah-belahkan Melayu, memberi gambaran buruk pada institusi Melayu, menganiayai pemimpin dan parti-parti Melayu, belot pada mandat Melayu, menghina himpunan Melayu, menuduh Melayu sebagai itu dan ini, tiba tiba baru nak berkongres?
“Itupun secara nak bersembunyi di sebalik nama orang lain!
“Inilah situasi orang Melayu sekarang. Ada kuasa tapi masih meraba-raba di saat orang lain sedang meratah segala yang ada di depan mata mereka,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebooknya mengenai ura-ura penganjuran Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober nanti.
Apa yang menghairankan tambah Annuar, kongres tersebut dikendalikan serta melibatkan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagaimana dalam gambar yang tular di media sosial tetapi tidak berani menggunakan nama parti mereka dalam penganjuran tersebut.
“Anehnya ia dikendali oleh geng PPBM, tapi tak berani guna nama parti mereka. Kenapa?
“Difahamkan ia anjuran sebuah pusat penyelidikan sebuah IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam). Apakah kongres yg menggunakan nama maruah Melayu tapi begitu takut untuk berterus-terang. Takut pada siapa?
“Apa motif kongres ini? Tidakkah ini satu aktiviti rasis terutamanya di mata Dap dan penyokongnya? Soal Annuar lagi.
Seterusnya Annuar turut berkata kongres tersebut hanya menambah kekeliruan orang Melayu dan menjadi medan semarakkan perpecahan orang Melayu.
“Kongres ini hanya menambah kekeliruan Melayu. Silap gaya ia jadi medan Melayu kutuk Melayu. Medan perpecahan Melayu. Ia bahan ketawa bukan Melayu.
“Fikir-fikirkanlah wahai anak Melayu… Jangan sampai dicemuh anak cucu yang Melayu itu sentiasa lupa dan Melayu itu sudah menjadi satu bahan kajian pusat-pusat penyelidikan universiti dan orang politik Melayu sudah hilang jati diri dan keberanian untuk mengutamakan membela orang melayu.
“Silap langkah, mereka sekadar alat bukan Melayu memperpanjangkan perpecahan Melayu,” tegasnya.
Annuar juga membidas tema kongres yang dilihat tidak selari dengan realiti yang berlaku pada hari ini apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu dari kerajaan.
“Tema kongres kononnya Berani, Tegas, Taqwa? …tapi penganjur orang kerajaan dan orang politik yang takut untuk berdiri dan berdepan dengan realiti.
“Di manakah ‘Maruah Melayu’? Soalnya. – UMNO ONLINE