Jangan Ada Campur Tangan Politik Dalam Kes Perundangan, PH Perlu Tegakkan ‘Rule Of Law’ – Saarani

IPOH, 27 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Saarani Mohamed berharap tidak akan ada apa-apa campur tangan politik dalam kes-kes perundangan yang melibatkan pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) dengan ‘Rule of Law’ ditegakkan.

Katanya, biarpun pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas adalah contoh awal PH telah ingkar janji dalam manifesto dan dipertikaikan rakyat Malaysia, namun undang-undang perlu terus ditegakkan.
“Jangan ada mana-mana parti poltik menyalahgunakan kedudukan walaupun menjadi parti politik memerintah. Ini bukan satu cara yang betul kerana itu kita harap biarlah pihak mahkamah mengadili kes ini dengan seadil-adilnya dan akan membuat keputusan seperti mana yang sewajarnya,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujar beliau, berdasarkan beberapa kes terdahulu, kebanyakan ke-kes yang melibatkan pemimpin-peminpin politik PH, terdapat penyalahgunaan kedudukan dan tidak mengikuti ‘Rule of Law’.

“Sebab itu kita tidak terkejut apa-apa kes yang melibatkan tokoh-tokoh parti PH sebagaimana Rafizi dan Lim Guan Eng yang tidak didakwa serta kes digugurkan kerana kuasa dan pendakwaan terletak atas tangan Peguam Negara,” katanya.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak turut menjelaskan, sewajarnya Peguam Negara bersifat tegas tetapi perkara awal yang dilihat beliau hilang kredibiliti kerana dipengaruhi campurtangan politik termasuklah dakwaan tuduhan merogol amah yang dilakukan oleh Exco Negeri Perak, Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh.

“Tidak manis kalau ada campur tangan mana-mana parti politik untuk mempengaruhi Peguam Negara supaya menarik balik dakwaan tersebut.

“Biarlah mahkamah yang memutuskannya. Sebab kita percaya bahawa kedaulatan undang-undang sepatutnya tidak ada campur tangan politik. Kita tidak tahu sama ada ia bersalah atau tidak bersalah sebab mahkamah sahaja yang memutuskannya.”

Tambahnya lagi, soal didapati bersalah atau tidak biarlah mahkamah yang memutuskan bergantung sama ada hakim bersetuju dengan fakta-fakta yang dibawa oleh pendakwa atau hakim bersetuju fakta-fakta yang dibawa oleh pembela.

“Janganlah kita berikan satu tauladan yang tidak baik kepada rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Dilaporkan, peguam Paul Yong telah membuat permohonan kepada Peguam Negara untuk menggugurkan dakwaan terhadap exco Perak itu. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit