Madrasah Ramadan: Peluang Hanya Sekali

SEPULUH terakhir Ramadan Al-Mubarak adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di mukhayyam tarbawi Ramadan bagi menggandakan amal ibadah, bertahajjud, berikhtikaf, bertilawah, zikrullah, berdoa, bermunajat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
“Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan dengan isteri-isterinya)” (Muttafaqun ‘alaihi)

Lailatul Qadr adalah anugerah terbesar Allah SWT pada 10 terakhir Ramadan. Satu malam yang mulia dan mempunyai pelbagai kelebihan dan keutamaan yang tidak terdapat pada malam-malam lain.

Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadr yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5.

Lailatul Qadr adalah peluang yang datang hanya sekali sahaja di sepanjang Ramadan. Peluang yang sepatutnya tidak disia-siakan untuk mendapatkannya. Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang menjalani ibadah sepuluh akhir Ramadan di Baitullah al-Haram sejak 30 tahun yang lalu.

Inilah antara anugerah dan peluang terbesar dalam kehidupan saya sekeluarga. Pada tahun ini setelah pelbagai usaha dilakukan saya sekeluarga dihalang dan tidak berpeluang menjalani ibadah sepuluh akhir Ramadan di Baitullah al-Haram, saya sekeluarga redha dengan takdir dan ujian ini Insya-Allah ada hikmah di sebaliknya.

Di zaman khalifah Bani Umayyah Islam tersebar dalam spektrum yang luas termasuk ke benua Eropah. Gerakan penaklukan tentera Islam ke atas Andalusia (Sepanyol) telah dimulakan berikutan kekejaman Raja Roderick ke atas rakyatnya dengan melakukan penindasan yang tidak berperikemanusiaan. Julian, Gabenor Ceuta (Sibtah – wilayah autonomi di Andalusia) memohon pertolongan daripada Musa bin Nushair, Gabenor Islam di Afrika Utara menggulingkan Raja Roderick yang zalim.

Setelah mendapat persetujuan daripada Khalifah al-Walid bin Abdul Malik di Damsyik, Musa bin Nushair menyusun gerakan penaklukan ke atas Andalusia (Sepanyol). Panglima Muda tentera Muslimin Thariq bin Ziyad dari bangsa Barbar, Maghribi telah diberikan peluang oleh Musa bin Nushair untuk mengetuai operasi menakluki Andalusia (Sepanyol). Thariq bin Ziyad mengambil peluang ini sebagai satu cabaran dan tidak disia-siakannya walaupun pada ketika itu usianya masih muda.

Pasukan yang dipimpin oleh Thariq bin Ziyad yang berjumlah 7,000 orang tentera muslimin menyeberangi selat antara Afrika dan daratan Eropah yang dipisahkan oleh Lautan Mediterranean sejauh 13 batu dengan menggunakan kapal-kapal pemberian Julian, Gabenor Ceuta.

Sebaik saja mendengar berita kedatangan tentera Muslimin, Raja Roderick mempersiapkan tenteranya yang berjumlah 100,000 orang. Apabila Thariq bin Ziyad mengetahui bahawa Raja Roderick membawa pasukan yang begitu besar, beliau segera menghubungi Musa bin Nushair untuk meminta bantuan, seramai 5,000 orang tentera tambahan dihantar oleh Musa bin Nushair bagi menguatkan lagi pertahanan tentera Muslimin. Dengan kapasiti tentera yang berjumlah 12,000 orang, Thariq bin Ziyad mara ke hadapan dengan matlamat menakluki Andalusia, menewaskan Raja Roderick dan menyebarkan dakwah Islamiah.

Kapasiti tentera Raja Roderick yang ramai telah menggerunkan tentera Muslimin. Namun, Thariq dengan pantas mengumpulkan tentera Muslimin di atas sebuah bukit (bukit tersebut dikenali sebagai Jabal Thariq dan kemudiannya ditukar kepada Gibratar) dan berpidato membakar semangat jihad tentera Muslimin:

“Kita datang ke sini tidak untuk kembali. Kita hanya punya pilihan, menakluki negeri ini dan menetap di sini, atau kita semua syahid”

Dengan seruan jihad yang dikobarkan oleh Thariq, tentera Muslimin mara ke lapangan jihad tanpa menoleh ke belakang. Pertempuran tercetus pada 28 Ramadan 92 Hijrah selama seminggu, akhirnya pasukan tentera Roderick ditewaskan. Seramai 3,000 tentera Muslimin telah syahid. Dengan kemenangan ini, tentera Islam dapat memasuki kota Toledo, Castille, Leon dan berhenti di Bascunia di tepi Lautan Atlantik.

Thariq bin Ziyad berhasrat menakluki seluruh Eropah, di saat Thariq merencanakan penaklukan tersebut, Khalifah telah meminta Thariq kembali ke Damsyik. Dengan penuh kepatuhan dan ketaatan, Thariq kembali ke Damsyik dan membatalkan hasratnya.

Sejarah penaklukan Andalusia (Sepanyol) bermula dengan peluang yang tidak disia-siakan oleh Thariq bin Ziyad.

Dalam perjuangan UMNO, setiap individu diberikan ruang dan peluang berbakti kepada parti terutamanya generasi muda. Jika diteliti dalam sejarah penaklukan Andalusia (Sepanyol) beberapa ibrah yang boleh dijadikan panduan bagi memperkasakan parti antaranya:

• Generasi muda ialah ejen perubahan. Sinergi di antara kepimpinan tertinggi dengan kepimpinan muda akan melicinkan agenda perubahan. Syarat utamanya adalah saling menghormati, tiada unsur meremehkan antara satu sama lain. Sepertimana falsafah Jawa yang menjadi pegangan Presiden Jokowi “Lamun Sira Sekti, Ojo Mateni – Meskipun kamu kuat, jangan suka menjatuhkan. Lamun Sira Banter, Ojo Ndhisiki – Meskipun kamu cepat, Jangan suka mendahului. Lamun Siro Pinter, Ojo Minteri – Meskipun kamu pandai, jangan Sok pintar”

• Semangat perjuangan semata-mata yang tidak disertakan dengan tindakan hanyalah sia-sia. Semangat dikobarkan seiring dengan tindakan yang berstrategi dan bukan semberono.

Berjawatan dalam parti adalah satu peluang dan amanah, tidak kira sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri mahupun pusat. Peluang ini mampu menghasilkan natijah yang baik untuk parti sekiranya ahli dan pimpinan saling bergandingan, satu suara, satu hati, sederap, seia dan sekata mendokong kepimpinan yang telah dipilih secara sah pada sesi pemilihan yang lepas. Jangan diremehkan perkara ini, kelak padah akibatnya kepada parti dan ahli.

Akhirnya dengan hari-hari yang masih berbaki sepuluh akhir Ramadan ini, ayuh! kita perketatkan ikatan, bermunajat, bermuhasabah, bertahajud dan terus mencari Lailatul Qadr, peluang hanya sekali dalam setahun.

Ahmad Zahid Hamidi

#demiummah
#akhiratdidepan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.