Madrasah Ramadan: Al-Quran Panduan Perjuangan

AL-QURAN ialah mukjizat Rasulullah SAW, peristiwa nuzul al-Quran memberi makna yang besar kepada umat Islam. Al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun sehingga lengkap sebagaimana al-Quran yang kita junjung, tilawah, tadarus dan tadabur pada hari ini.

Saban tahun 17 Ramadan menjadi tradisi umat Islam di seluruh negara mengadakan program tadarus perdana dan tadabur al-Quran. Parlimen Bagan Datuk tidak ketinggalan menganjurkan Program Tadarus Perdana dan Ihya Ramadan, apa yang uniknya pada kali ini kehadiran pimpinan dan ahli PAS kawasan bagi menjayakan program tersebut. Inilah manifestasi perpaduan ummah UMNO dan PAS di Parlimen Bagan Datuk.

Selama 13 tahun al-Quran diturunkan di Makkah dan 10 tahun di Madinah secara berperingkat-peringkat, antara hikmahnya agar lebih mudah difahami untuk dilaksanakan. Penurunannya disuaikan dengan realiti dan tuntutan kerana ayat-ayat al-Quran mengandungi peraturan, hukum siyasah negara, sosial, pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya.

Sebagai pejuang UMNO kita jadikan penurunan al-Quran secara berperingkat-peringkat itu sebagai panduan perjuangan. Jangan terlalu ghairah, gelojoh dan gopoh mengeluarkan pandangan dan bertindak sehingga merugikan parti. Ambil cakna sensitiviti dan realiti semasa, UMNO masih berada di fasa pemulihan walaupun kita sudah memenangi tiga PRK jangan mudah berpuas hati dan selesa. Kita laksanakan pemulihan ini secara berperingkat-peringkat dan saling bergandingan.

Menurut pendapat yang disandarkan kepada Ibnu Abbas r.a, al-Quran mengandungi 114 surah, 6666 ayat dan 323, 671 huruf. Daripada 6666 ayat tersebut saya tertarik dengan firman Allah swt dalam surah al Ahzab ayat 9-10 untuk dijadikan panduan perjuangan pada kali ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir ……………….”

Melalui ayat tersebut Allah SWT merakamkan peristiwa Ghazwah al-Ahzab atau Khandak yang berlaku pada Ramadan tahun ke-5 Hijrah, antara lain berpunca daripada keghairahan dan semangat berkobar-kobar kaum musyrikin Makkah dan yahudi Madinah untuk menghancurkan Islam. Mereka telah membuat pakatan dengan pelbagai pihak membentuk tentera Ahzab (gabungan) dengan kekuatan seramai 10,000 orang tentera, melebihi jumlah penduduk Madinah sendiri.

Rasulullah SAW segera bermusyawarah dengan para sahabat. Keputusan diambil secara konsensus menerima cadangan Salman Al-Farisi menggunakan strategi menggali parit (Khandak) berdasarkan strategi perang zaman Empayar Sasan di Parsi. Tentera Islam seramai 3,000 orang akan bertahan dan membina kubu di dalam kota Madinah.

Bagi menjayakan strategi bertahan dalam kota Madinah, Rasulullah SAW membuat pembahagian tugasan bagi memastikan Khandak (parit) yang digali memenuhi KPI yang ditetapkan. Setiap 10 orang sahabat menggali sepanjang 40 hasta dengan kedalaman tujuh hingga 10 hasta dan lebar sembilan hasta lebih. Panjang keseluruhan parit tersebut 5,000 hasta.

Ketika kegawatan perang, berlaku percubaan untuk belot oleh kaum Yahudi Bani Quraizah yang tinggal di dalam Madinah. Rasulullah SAW menghantar Az Zubair bin ‘Awwam sebagai pengintip. Bagi mengesahkan maklumat tersebut Rasulullah SAW menghantar skuad penyiasat dengan arahan “Jika benar mereka khianat hendaklah dimaklumkan kepadaku secara rahsia dengan bahasa yang tidak difahami orang lain. Jika sebenarnya mereka masih setia maka umumkanlah kepada orang ramai”

Rasulullah SAW juga menghantar Nu’aim bin Mas’ud sebagai propagandis menyelinap ke kubu tentera musyrikin bagi membuat propaganda memecahkan kesatuan mereka sehingga telah menimbulkan perasaan sangsi sesama mereka.

Akhirnya sepertimana yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al Ahzab tentera musyrikin dikucar-kacirkan dengan tiupan angin ribut kencang yang menyebabkan mereka berundur ke Makkah.

Ibrah penting daripada Ghazwah al-Ahzab atau Khandak yang boleh kita jadikan sebagai panduan:

• Menghadapi saat sukar dengan tenang dan membina permuafakatan dengan bermusyawarah dalam gerak kerja dan membuat keputusan

• Terbuka menerima pandangan dan idea-idea baharu yang bernas daripada pelbagai pihak dalam dan luar parti bagi memperkukuhkan parti tetapi mestilah melalui saluran yang betul.

• Berwaspada terhadap cubaan berpaling tadah dan unsur-unsur sabotaj dalaman dengan memperkukuhkan dalaman parti dan bekerja mengikut KPI yang ditetapkan.

• Melakukan perang saraf secara konsisten terhadap musuh dan menokhtahkan gerak saraf sesama sendiri yang merugikan parti.

• Keputusan penting berkaitan dasar dan perlembagaan parti dibuat berdasarkan kajian dan risikan maklumat yang tepat bukan syok sendiri dan untuk kepentingan peribadi.

Realitinya episod perjuangan UMNO kini berhadapan dengan al-Ahzab moden yang akan terus-menerus mengganggu-gugat kesepakatan yang telah dicapai sebelum ini sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan.
Kita jadikan memori Ghazwah al-Ahzab atau Khandak sepertimana yang dirakamkan dalam al-Quran sebagai panduan menghadapi al-Ahzab moden dan mendepani situasi politik semasa tanah air.

AHMAD ZAHID HAMIDI

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.