PH Politik Dua Muka Dan Pengerusi PH Gagal

SAYA merakamkan ucapan tahniah kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, 28 November lalu.

Pencapaian ini mencipta rekod tertinggi dalam sejarah PRN Sarawak, mengatasi 19 kerusi yang dicatatkan pada 1996. Kemenangan ini bukan kebetulan. Ia lahir daripada kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan yang stabil, menepati janji dan mendahulukan Sarawak.

GPS membuktikan bagaimana sebuah gabungan sepatutnya bergerak iaitu satu suara, satu hala tuju dan saling menghormati sesama rakan.

Malangnya, semangat yang sama gagal dipertahankan dalam Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dap, rakan sekomponen dalam PH, tetap meletakkan calon di 14 kerusi untuk menentang GPS, rakan yang sama-sama memikul kestabilan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Lebih memalukan, Pengerusi Dap Sarawak secara terbuka menuduh Pkr mengorbankan demokrasi semata-mata untuk mengekalkan sokongan GPS di peringkat Persekutuan. Akhirnya, Datuk Seri Anwar sendiri terpaksa tampil menjawab, “kerjasama, bukan tunduk”.

Apabila seorang Pengerusi gabungan terpaksa mempertahankan diri daripada serangan parti komponennya sendiri, itu petanda jelas beliau sudah hilang kawalan ke atas rumahnya sendiri.

Datuk Seri Anwar bukan sekadar Pengerusi PH. Beliau juga Perdana Menteri yang memimpin sebuah kerajaan gabungan. Jika beliau tidak mampu duduk semeja dengan Setiausaha Agung Dap dan mencapai satu keputusan bersama untuk Sarawak, bagaimana rakyat mahu yakin beliau mampu menjaga keharmonian seluruh Kerajaan Perpaduan?

Keputusan Dap ini juga bukan tindakan terpencil pemimpin negeri. Pengerusi Dap Sarawak sendiri mengesahkan pendirian untuk bertanding dimuktamadkan selepas berbincang dengan Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke, dan kepimpinan pusat menghormati sepenuhnya keputusan itu.

Maknanya, langkah menentang GPS direstui di peringkat tertinggi Dap dan Pengerusi PH membiarkannya berlaku tanpa sebarang usaha menyelaraskan pendirian.

Hakikatnya, Dap bukan parti kecil dalam PH. Dengan 40 kerusi Parlimen, Dap ialah parti komponen terbesar dalam Pakatan Harapan, mengatasi Pkr dengan 28 kerusi dan Amanah dengan lapan kerusi. Apabila parti terbesar dalam gabungan sendiri bebas menentang rakan Kerajaan Perpaduan tanpa sebarang teguran, rakyat berhak bertanya: siapa sebenarnya yang memimpin Ph? Pengerusinya, atau parti komponen terbesarnya? Atau adakah Datuk Seri Anwar terlalu bergantung kepada 40 kerusi Dap sehingga tidak berani menegur?

Wajah dua muka ini semakin jelas apabila Dap turut memutuskan pemimpinnya yang bukan rakyat Sarawak dan memegang jawatan menteri serta timbalan menteri Persekutuan tidak akan turun berkempen.

Kerusi Kabinet dijaga rapi di Putrajaya, tetapi calon tetap dihantar untuk menjatuhkan GPS di Sarawak. Senyum di meja Kabinet, menikam dari belakang di gelanggang negeri.

Keharmonian tidak dibina dengan slogan “Kerajaan Perpaduan”. Ia dibuktikan dengan tindakan menghormati rakan, mematuhi persefahaman dan tidak mengkhianati kepercayaan. Itu tanggungjawab asas seorang Pengerusi gabungan dan Ketua Kerajaan. Jika rumah sendiri pun gagal diurus dengan harmoni, jangan mendabik dada mengajar orang lain tentang kestabilan dan muafakat.

Datuk Seri Anwar dan para pengikutnya juga jangan lupa daratan. Tanpa sokongan BN, GPS, GRS dan Warisan selepas PRU ke -15, mana mungkin beliau menjadi Perdana Menteri. Kerusi Perdana Menteri itu hadir atas ihsan parti-parti ini yang sanggup mengetepikan perbezaan demi kestabilan negara. Ingatlah, PH sendiri yang datang bersama rombongan ke PWTC untuk memujuk dan merayu sokongan.

Hari ini, apabila salah satu rakan yang menyelamatkan kerajaan itu diserang di Sarawak oleh komponen Ph sendiri, Pengerusi Ph gagal mempertahankannya.

Kepada rakyat Sarawak, 12 Disember ini adalah masa untuk memberi jawapan. Hukumlah sekeras-kerasnya, melalui peti undi, kumpulan yang memperdaya rakyat demi kuasa, berpura-pura menjadi rakan di Putrajaya, tetapi menikam dari belakang di Sarawak. Tolak politik bermuka-muka ini. Berikan mandat yang lebih kukuh kepada GPS supaya Sarawak terus ditadbir oleh kepimpinan yang setia, stabil dan mendahulukan rakyat.

Sarawak bukan gelanggang eksperimen politik Dap. Rakyat Sarawak juga bukan alat untuk menguji sejauh mana kesetiaan boleh diubah mengikut tempat dan keadaan.

Jika Pengerusi PH sudah tidak mampu menyatukan rakan-rakannya sendiri, lebih baik Parlimen dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat, daripada terus berpaut pada kuasa dengan wajah perpaduan yang hanya kelihatan ketika membahagikan jawatan.

Cukuplah sandiwara politik. Rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang benar-benar kukuh, stabil dan bermaruah.

YB Mohd Hairi Mad Shah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO