Isu Dadah TUDM: Utamakan Siasatan, Bukan Desakan Politik

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Onn Mahathir Md Nasir menyifatkan desakan supaya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meletakkan jawatan susulan isu penahanan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dikaitkan dengan sindiket dadah sebagai tindakan yang tidak wajar dibuat secara terburu-buru.

Beliau berkata, isu berkenaan perlu dilihat secara adil dan rasional dengan mengambil kira tindakan pengesanan serta penahanan anggota Unit Cawangan Pergerakan Udara (AMS/MOVCON) dan Pasukan Pertahanan Darat (HANDAU) TUDM di Pangkalan Udara Subang.

“Bagi saya, ini bukan masanya untuk mencari siapa yang perlu dipersalahkan secara politik. Ini masanya untuk membersihkan institusi pertahanan negara daripada sebarang bentuk jenayah dan salah laku.

“Kita perlu melihat isu ini dengan adil dan rasional. Hakikatnya, tindakan pengesanan dan tangkapan melibatkan anggota AMS/MOVCON dan Pasukan Pertahanan Darat (HANDAU) TUDM di Pangkalan Udara Subang.

“Menteri sendiri telah memberikan jaminan bahawa tiada sesiapa akan dilindungi dan menggesa pihak polis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sepanjang menerajui Kementerian Pertahanan, Mohamed Khaled tidak pernah mengelak daripada berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Daripada isu rasuah melibatkan bekas kepimpinan tertinggi, persoalan ketirisan dalam perolehan hinggalah isu dadah yang sedang berlaku, beliau tampil memberikan penjelasan dan mengambil langkah pembetulan.

“Pada masa yang sama, usaha memperkukuh kebajikan anggota, menambah baik perumahan tentera, memperjuangkan hak veteran, memodenkan aset serta memperkemas tatakelola pertahanan negara juga sedang berjalan.

“Kita perlu faham satu perkara. Jika kesalahan segelintir individu diperbesarkan sehingga seolah-olah seluruh warga ATM tidak lagi boleh dipercayai, kita sebenarnya sedang menanam bibit ketidakpercayaan rakyat terhadap institusi yang selama ini mempertaruhkan nyawa demi keselamatan negara,” ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa kesalahan segelintir individu tidak seharusnya diperbesarkan sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah seluruh warga ATM tidak lagi boleh dipercayai.

“Anggota ATM yang jujur, berdisiplin dan setia kepada negara tidak sepatutnya turut menerima tempias kesalahan mereka yang mengkhianati amanah,” katanya.

Pada Jumaat, tiga pegawai TUDM bersama tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 96.2 kilogram (kg) di Pangkalan Udara Subang, pada 17 November lalu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO