Hentikan Perang Psikologi, Fokus Pentadbiran Negeri – Jalaluddin
KUALA PILAH, 27 Nov – Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menggesa semua pihak menghentikan spekulasi dan perang psikologi politik yang berterusan bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran serta kepentingan rakyat.
Beliau berkata, penyelesaian kemelut politik negeri itu menerusi pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu perlu menjadi titik permulaan untuk memastikan pentadbiran berjalan lancar.

Menurutnya, UMNO menyambut baik perkembangan berkenaan dan mengucapkan tahniah kepada enam Exco yang telah mengangkat sumpah jawatan hari ini.
“Ini merupakan hari yang sangat baik dan berita gembira untuk rakyat Negeri Sembilan, khususnya kerajaan negeri kerana segala perkara yang berlaku sebelum ini telah diselesaikan.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar pentadbiran negeri berjalan lancar serta dipacu dengan lebih teratur dan berpandangan jauh pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis mengangkat sumpah enam Exco baharu di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Enam Exco berkenaan terdiri daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan dua ADUN Perikatan Nasional (PN).
Mengulas spekulasi yang terus mengaitkan namanya dalam perkembangan politik negeri, Jalaluddin menegaskan perkara itu tidak seharusnya berpanjangan sehingga mengganggu tumpuan terhadap pentadbiran.
“Saya sudah lama mencadangkan supaya perang psikologi ini dihentikan. Kita perlu memberikan sokongan sepenuhnya kepada kerajaan.
“Apa yang penting bagi saya ialah memastikan parti terus bergerak ke hadapan dan kerajaan ditadbir dengan baik demi kepentingan masyarakat serta rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pelantikan Menteri Besar merupakan hak Presiden parti dan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Jalaluddin turut menegaskan bahawa beliau menjunjung titah diraja serta mahu kesetiaan kepada institusi Raja terus diperkukuh bagi mengelakkan episod lalu berulang.
Beliau juga menafikan menyimpan rasa kecewa berhubung perkembangan politik yang berlaku.
“Seperti yang semua lihat, saya okey dan tidak menyimpan sebarang rasa kecewa,” katanya lagi. – UMNO Online
