Sokongan inKUR Jadi Pemangkin Di Peringkat Global – Abdul Fattah
KUALA LUMPUR, 27 Nov – Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah merakamkan penghargaan kepada Perintis dan Penasihat Induk Koperasi Usaha Rakyat Indonesia (inKUR), Robby Tulus serta seluruh barisan kepimpinan organisasi itu atas sokongan padu sehingga beliau berjaya dipilih sebagai Anggota Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) Global bagi penggal 2026-2030.
Menurut beliau, sokongan tersebut mencerminkan hubungan kerjasama erat yang telah sekian lama terjalin antara ANGKASA dan inKUR, khususnya menerusi penglibatan aktif koperasi anggota organisasi itu dalam pelbagai program di peringkat ASEAN dan Asia Pasifik.
Katanya, hubungan baik yang dibina bersama Robby Tulus serta sokongan koperasi anggota inKUR, termasuk Pusat Koperasi Kredit Khatulistiwa (PUSKHAT), menjadi antara asas penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama gerakan koperasi serantau.
“Kita mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dengan pihak inKUR, terutamanya bersama Robby Tulus. Kami di ANGKASA amat berterima kasih atas kesudian pihak inKUR dan koperasi-koperasi anggotanya seperti PUSKHAT yang berterusan menyokong program-program ANGKASA di peringkat ASEAN dan Asia Pasifik.
“Saya mengharapkan agar sokongan ini akan terus berkekalan,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO berharap inKUR akan terus memperkukuh sokongan terhadap program anjuran ANGKASA dan ACO, khususnya inisiatif yang membawa agenda pembangunan koperasi ke peringkat serantau.
“Saya yakin tahun depan dan tahun-tahun mendatang, kita akan mempunyai lebih banyak perbincangan, pertemuan dan mesyuarat yang melibatkan agenda koperasi di peringkat ASEAN.
“Saya juga ingin semua pihak maklum bahawa Timor-Leste telah bersetuju untuk menjadikan koperasi sebagai agenda semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Dili, Timor-Leste pada 2029,” jelasnya.
Tambah beliau, perkembangan itu dilihat sebagai satu langkah penting dalam mengangkat peranan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi rakyat, selain membuka ruang lebih luas kepada kerjasama rentas negara dalam memperkukuh ekosistem koperasi ASEAN.
Untuk rekod, inKUR yang merupakan anggota tetap ICA mempunyai dua undi dalam proses pemilihan Anggota Lembaga badan koperasi antarabangsa itu.
Daripada keseluruhan 24 calon yang bertanding, seramai 15 calon berjaya dipilih menganggotai Lembaga ICA bagi penggal 2026-2030, sekali gus memperlihatkan persaingan dalam menentukan hala tuju gerakan koperasi di peringkat global. – UMNO Online
