Reformasi Undang-Undang Jenayah Pastikan Sistem Keadilan Kekal Adil dan Responsif
KUALA LUMPUR, 27 Nov – Usaha pembaharuan undang-undang jenayah negara bertujuan memastikan sistem keadilan jenayah Malaysia terus adil, berkesan dan responsif kepada perubahan masyarakat, tanpa mengabaikan prinsip kedaulatan undang-undang.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, matlamat itu menjadi antara fokus utama dalam Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Jenayah yang dibincangkan menerusi sesi townhall di Parlimen Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata demikian selepas merasmikan Townhall Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Jenayah semalam, yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan mengenai hala tuju pembaharuan undang-undang jenayah negara.
Menurut beliau, Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC) sedang meneliti semula undang-undang jenayah sedia ada, termasuk mengenal pasti peruntukan yang lapuk, terlalu keras atau tidak lagi selari dengan keperluan semasa untuk dipinda dan diperbaharui.
“Matlamat kita ialah memastikan sistem keadilan jenayah Malaysia terus adil, berkesan dan responsif kepada perubahan masyarakat, tanpa mengabaikan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan mendapatkan pandangan rakyat dalam proses reformasi berkenaan, justeru sesi townhall menjadi platform untuk mendengar pandangan, kebimbangan dan cadangan orang ramai sebelum sebarang cadangan perubahan dibawa ke peringkat seterusnya. – UMNO Online
