Nilai GST Secara Objektif, Jangan Terikat Polemik Politik – Suraya

PENDANG, 26 Nov – Isu pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak sepatutnya terus dipolemikkan sebagai pertarungan politik antara parti, sebaliknya perlu menjadi perbincangan serius mengenai masa depan ekonomi negara dan beban yang terpaksa ditanggung rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Dr Suraya Yaacob berkata, kerajaan perlu berani menilai semula keberkesanan sistem percukaian negara, termasuk membuka ruang mempertimbangkan GST sekiranya ia terbukti lebih telus, tersusun dan mampu memberikan manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, sudah tiba masanya perdebatan GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) keluar daripada kepompong politik kepartian kerana perkara yang lebih penting ialah keberkesanan sesuatu sistem dalam menjaga kepentingan masyarakat.

“Jangan jadikan GST dan SST sebagai isu siapa menang, siapa kalah atau parti mana yang betul. Ini bukan soal UMNO, Barisan Nasional (BN) atau mana-mana parti politik. Ini soal rakyat dan bagaimana kerajaan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada mereka.

“Kalau sesuatu dasar perlu dinilai semula, nilailah. Kalau ada sistem yang lebih baik, jangan takut untuk mempertimbangkannya hanya kerana ia pernah diperkenalkan atau dimansuhkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia berkata, kerajaan tidak seharusnya terlalu terikat dengan keputusan politik masa lalu sehingga menutup peluang melakukan penambahbaikan terhadap dasar ekonomi negara.

Katanya yang juga Setiausaha Penerangan UMNO, penilaian terhadap GST dan SST perlu mengambil kira kesan sebenar kepada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah yang semakin terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup.

“Masyarakat luar bandar tidak boleh dipinggirkan dalam perbincangan itu kerana mereka turut berdepan cabaran kos barangan keperluan, pengangkutan dan pendapatan yang tidak semestinya meningkat seiring tekanan ekonomi.

“Jangan sampai apa juga sistem percukaian yang dipilih akhirnya menambah beban rakyat kecil. Masyarakat luar bandar bukan golongan yang boleh terus diminta berkorban sedangkan kemampuan mereka juga terbatas.

“Kita mahu sistem yang adil, bukan sistem yang akhirnya menyebabkan rakyat terpaksa membayar lebih tanpa merasai manfaat yang sepatutnya,” katanya.

Dr Suraya menegaskan, GST boleh dipertimbangkan sebagai salah satu pilihan untuk mewujudkan sistem percukaian yang lebih telus dan mampan, namun pelaksanaannya perlu berasaskan kajian menyeluruh serta mengambil kira kemampuan rakyat.

Katanya, mekanisme kawalan harga, pengecualian barangan keperluan dan perlindungan kepada golongan rentan juga perlu diberikan perhatian sekiranya kerajaan memutuskan untuk membuat perubahan.

“Persoalannya bukan siapa yang memperkenalkan GST dan siapa yang memansuhkannya. Persoalan sebenar ialah sistem manakah yang lebih baik untuk negara dan paling penting, sistem manakah yang tidak membebankan rakyat.

“Jangan biarkan rakyat menjadi mangsa percaturan politik. Apa pun keputusan kerajaan, pastikan kepentingan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar, menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata, dasar ekonomi tidak seharusnya menjadi warisan pertelingkahan politik, sebaliknya perlu sentiasa dinilai dan diperbaiki demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan ekonomi negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO