RUU Bidang Kuasa Admiralti Dibentang 8 Disember – Azalina
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Rang Undang-Undang (RUU) Bidang Kuasa Admiralti 2026 dijangka dijadualkan untuk Bacaan Kedua pada 8 Disember 2026 di Dewan Rakyat.
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses penelitian RUU berkenaan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) kini telah sampai ke penghujung selepas melalui beberapa siri penelitian dan perbincangan bersama pihak berkaitan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, segala pandangan, isu dan cadangan penambahbaikan telah diperhalusi bagi memastikan RUU itu jelas, praktikal serta selari dengan keperluan semasa.

“Hari ini saya telah mempengerusikan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026.
“Selepas melalui beberapa siri penelitian dan perbincangan bersama pihak berkaitan, proses di peringkat JKPK kini telah sampai ke penghujungnya,” katanya.
Azalina turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli JKPK, agensi Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar dan pihak berkepentingan yang memberikan pandangan serta kerjasama sepanjang proses penelitian itu.
Menurutnya, sumbangan semua pihak amat penting bagi memastikan RUU berkenaan diperhalusi secara menyeluruh.
“Insya-Allah, bacaan kedua RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 dijangka akan dijadualkan pada 8 Disember 2026 di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau juga berharap proses seterusnya berjalan lancar dalam usaha memperkukuhkan kerangka perundangan maritim negara. – UMNO Online
