Pertikai Solat Jumaat, Khoo Poay Tiong Jangan Prejudis

KUALA TERENGGANU, 21 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menarik balik kenyataannya berhubung polisi membenarkan pekerja lelaki Muslim di Terengganu menunaikan solat Jumaat serta memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat negeri itu.

Beliau berkata, kenyataan berkenaan bersifat prejudis terhadap Terengganu kerana dibuat tanpa memahami asas pelaksanaan pewartaan polisi tersebut yang telah diluluskan dan berkuat kuasa sejak 2015.

Menurutnya, polisi berkenaan merupakan hasil persetujuan kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi memberi ruang kepada semua rakyat Terengganu lelaki beragama Islam, termasuk pekerja, menunaikan solat Jumaat.

“Solat Jumaat ini adalah solat yang wajib dilaksanakan oleh lelaki Muslim yang memenuhi syarat syarie.

“Bagi makluman Saudara MP Kota Melaka, polisi ini telah diluluskan dan berjalan sejak tahun 2015,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Haphiz turut membetulkan dakwaan berhubung pihak yang memperkenalkan polisi berkenaan dengan menjelaskan bahawa ia diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika menerajui negeri.

Katanya, polisi itu kemudiannya diteruskan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana bersesuaian dengan budaya dan kehidupan masyarakat negeri itu.

“Sepanjang ia dilaksanakan, tidak pernah satu kenyataan daripada mana-mana bukan Islam di Terengganu mempertikaikan polisi tersebut seperti Ahli Parlimen DAP ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Khoo tidak sepatutnya mencampuri urusan yang berkaitan dengan amalan serta budaya masyarakat Terengganu tanpa memahami latar belakang pelaksanaannya.

“Tengku Haphiz berkata, kenyataan berkenaan turut memperlihatkan kegagalan DAP memahami budaya dan agama Islam.

“Maka, saya menggesa Saudara Khoo Poay Tiong menurunkan kenyataan ini dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Terengganu,” katanya.

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO