Tony Pua Wajar Dikenakan Tindakan, Jangan Permain Kerahsiaan Negara – Rosni Zahari
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Pengamal undang-undang, Datuk Rosni Zahari mempersoalkan tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang mendedahkan dokumen didakwa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan menerusi laman Facebook sehingga menimbulkan persoalan serius berhubung kerahsiaan dokumen kerajaan dan institusi diraja.
Rosni yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, berkata tindakan sedemikian amat tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila Tony Pua sendiri mempunyai latar belakang sebagai pengamal undang-undang dan sepatutnya memahami batasan antara maklumat yang boleh didedahkan kepada umum dengan dokumen yang wajib dilindungi kerahsiaannya.
Jelasnya, pendedahan dokumen berkenaan bukan sahaja tidak sepatutnya berlaku, malah menimbulkan persoalan bagaimana dokumen tersebut boleh diperoleh sehingga boleh disebarkan secara terbuka kepada masyarakat.
“Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang undang-undang, Tony Pua sepatutnya tahu perkara yang boleh didedahkan dan perkara yang tidak boleh didedahkan. Ini bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan.
“Walaupun dokumen yang didedahkan itu tidak merangkumi keseluruhan minit mesyuarat, tindakan mendedahkan sebahagian daripadanya tetap tidak wajar. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku sama sekali.
“Jangan sampai kerahsiaan negara dan institusi diraja dipertaruhkan hanya kerana kepentingan politik. Undang-undang mesti dihormati dan setiap pihak perlu bertanggungjawab atas tindakan masing-masing,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran menegaskan, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta Raja atau Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing, justeru sebarang perkara berkaitan proses pengampunan perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab dan menghormati kedudukan institusi berkenaan.
“Siapa pun individu terbabit, tindakan perlu diambil jika berlaku pelanggaran. Jangan kerana seseorang itu mempunyai kedudukan atau pengaruh politik, perkara sebegini dibiarkan begitu sahaja.
“Lebih penting, siasatan perlu dilakukan bagi mengenal pasti bagaimana dokumen tersebut boleh diperoleh dan siapa yang bertanggungjawab menyalurkannya kepada pihak luar,” katanya lagi.
Justeru beliau harap tindakan tegas perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak, termasuk penjawat awam dan masyarakat, bahawa kerahsiaan dokumen kerajaan serta urusan institusi diraja bukan perkara yang boleh dipermainkan.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Dap, Tony Pua, menerusi media sosial berkongsi beberapa dokumen didakwa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dinyahklasifikasi berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dinyahklasifikasi itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu. – UMNO Online
