Komunikasi Politik Merentasi Platform Digital, Kelompok Masyarakat

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan kaedah komunikasi konvensional tidak lagi boleh dijadikan satu-satunya medium untuk mendekati masyarakat.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, ini kerana pendekatan seperti ceramah dan pertemuan secara bersemuka tidak mencukupi untuk mendekati masyarakat, khususnya dalam kelompok golongan muda yang kini lebih banyak mendapatkan maklumat menerusi platform digital.

“Dalam konteks komunikasi politik, pendekatan juga perlu berubah. Jika dahulu kita bergantung kepada ceramah, hari ini kita perlu menggunakan pelbagai medium digital untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat.

“Golongan muda hari ini mempunyai pendekatan dan cara mendapatkan maklumat yang berbeza. Di Melaka dan Johor misalnya, kira-kira 40 peratus penduduk terdiri daripada golongan berusia bawah 40 tahun.

“Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada pendekatan lama dengan pergi ke balai raya dan bercakap kepada kelompok kecil masyarakat sebaliknya perlu mengubah strategi dengan memanfaatkan telefon pintar, platform digital dan pelbagai medium komunikasi yang ada.

“Ini kerana mereka yang menyokong tidak semestinya datang kepada kita. Sebaliknya, kita perlu pergi kepada mereka,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika Kursus Penerangan bersama Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian seluruh Malaysia di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob dan Ketua-ketua Penerangan Wanita Bahagian seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, Azalina turut sama menyeru ahli UMNO supaya tidak hanya berkomunikasi dalam kelompok sendiri, sebaliknya perlu keluar daripada lingkungan tersebut bagi mendekati masyarakat yang lebih luas.

Menurut beliau ini kerana keutamaan dalam komunikasi politik bukan sekadar menyampaikan mesej, malah perlu disertai keupayaan mendengar kritikan masyarakat sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita tidak boleh hanya berkomunikasi dengan kelompok sendiri, bergerak bersama kumpulan yang sama sebaliknya perlu keluar daripada kelompok tersebut dan mendekati masyarakat yang lebih luas.

“Selain itu kita mesti mendengar suara dan pandangan masyarakat sebelum mengambil sebarang tindaka. Masyarakat menggunakan media sosial untuk menyuarakan pandangan, di Facebook, Instagram dan pelbagai platform lain, terdapat ruangan komen yang perlu kita baca dan teliti, walaupun ada komen yang mungkin tidak kita sukai.

“Memang benar, ada komen yang datang daripada akaun palsu tetapi ada juga kritikan yang benar-benar datang daripada masyarakat dan perlu diberikan perhatian,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO