Manndzri Tuntut Kerajaan Pusat Realisasikan Projek Pengangkutan Awam Demi Rakyat
KUALA LUMPUR, 17 Nov – Kerajaan Persekutuan diminta memberikan penjelasan mengenai perkembangan terkini projek sistem pengangkutan awam Johor Bahru, khususnya cadangan pelaksanaan Automated People Mover (APM) yang menggantikan sistem Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART).
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, projek berkenaan amat penting bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Johor Bahru selain memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam di negeri itu, khususnya dalam mendukung pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Beliau berkata, projek JB E-ART (Johor Bahru – Elevated Autonomous Rapid Transit) sebelum ini telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 2024 sebelum mendapat sambutan di peringkat Persekutuan pada 2025 dengan penglibatan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Bagaimanapun, beliau dimaklumkan bahawa sistem E-ART berkenaan kini dicadangkan untuk digantikan dengan sistem APM.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan sama ada sistem APM yang dicadangkan menepati perancangan asal serta menawarkan teknologi yang lebih moden dan berkesan berbanding E-ART.
“Apakah sistem APM ini seperti yang dijanjikan? Adakah ia lebih baik dan moden berbanding E-ART? Apakah model kewangan pembangunan projek ini dan berapa kos yang akan ditanggung oleh kerajaan?” soalnya.
Menurut beliau, usaha memperkukuh kesalinghubungan di Johor tidak seharusnya membiarkan Johor Bahru, sebagai ibu negeri, terus berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang menjejaskan kehidupan rakyat.
Katanya, sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja penting untuk memudahkan pergerakan penduduk, malah menjadi keperluan strategik bagi memastikan Johor terus menikmati limpahan manfaat ekonomi daripada hubungan dengan Singapura.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan sistem pengangkutan awam berkenaan perlu melengkapi ekosistem perhubungan rentas sempadan Malaysia-Singapura, khususnya susulan peluasan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Tambak Johor.
“Bagi Kerajaan Johor, usaha memperkasa kesalinghubungan JS-SEZ dan membiarkan Johor Bahru terus sesak bukanlah satu pilihan.
“Seperti yang dijanjikan, saya mewakili Bangsa Johor menuntut sistem pengangkutan awam E-ART ini ditunaikan dan direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam. – UMNO Online
