Tsunami Biru Melaka, 24 Kerusi DUN Bukti Penolakan Naratif PH
KUALA LUMPUR, 15 Nov – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan besar dengan menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan gabungan berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, menyifatkan keputusan itu bukan lagi sekadar gelombang biru, sebaliknya sudah berkembang menjadi satu fenomena yang lebih besar, iaitu Tsunami Biru.
Menurut beliau, keputusan tersebut membuktikan rakyat Melaka telah membuat pilihan jelas terhadap kepimpinan negeri yang bakal diterajui YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi penggal kedua.

“Alhamdulillah, semalam terjawab sudah parti dan gabungan mana yang menjadi pilihan majoriti rakyat Melaka. Kemenangan 24 daripada 28 kerusi DUN mencerminkan keyakinan yang amat kuat terhadap gabungan biru BN dan PN,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berpandangan kekalahan beberapa tokoh utama Pakatan Harapan (PH), termasuk calon Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Bidin, memberikan gambaran bahawa naratif politik yang dibawa PH sepanjang kempen tidak lagi mendapat sambutan seperti diharapkan.
Katanya, isu-isu berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta slogan dan tuduhan politik yang sering dimainkan sepanjang kempen dilihat tidak berjaya mengubah kecenderungan pengundi, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Menjual ayat dan mengulang naratif seperti nama Najib, perkataan ‘sakau’ dan UMNO pengkhianat di pentas kempen tidak semestinya mampu mengubah fikiran rakyat. Sebaliknya, sokongan rakyat semakin bertambah kuat dan semakin membiru,” katanya.
Mengulas lanjut, Gulam berkata rakyat semakin matang dalam membuat keputusan politik dan tidak mudah dipengaruhi oleh pelbagai pendekatan kempen, termasuk penggunaan jentera kerajaan serta isu-isu berkaitan media sosial.
“PH boleh mengunci dan menutup ruang media sosial, melakukan tindakan intimidasi serta menggunakan pelbagai pendekatan untuk meraih sokongan, tetapi akhirnya rakyat mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pilihan mereka melalui satu simbol ‘X’ di atas kertas undi,” katanya.
Beliau turut menyifatkan perkembangan politik itu sebagai petanda bahawa gelombang sokongan biru berpotensi merebak ke negeri-negeri lain, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Akhir kata, keputusan PRN Melaka ini bukan lagi sekadar gelombang biru, tetapi sudah berubah menjadi Tsunami Biru yang sedang menghala ke seluruh bumi Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Insya-Allah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh pendukung dan penyokong agenda politik biru untuk terus memperkukuhkan gerakan berkenaan demi membawa perubahan dalam landskap politik negara.
“What next? Ayuh kita bersama membawa agenda Malaysia Biru. Bubar! Bubar! Bubar!” katanya. – UMNO Online
