Pengundi Luar Diseru Pulang, Tentukan Masa Depan
HANG TUAH JAYA, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood menyeru pengundi yang berada di luar Melaka supaya pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.
Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, setiap undi amat bermakna dalam menentukan hala tuju dan masa depan kawasan berkenaan.
“Kepada pengundi-pengundi luar, mesej saya adalah supaya pulanglah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kerana itu merupakan tanggungjawab kita sebagai warga negara Malaysia.
“Saya menyeru agar semua dapat meluangkan masa untuk pulang mengundi dan bersama-sama melakar masa depan Pengkalan Batu.
“Tanpa undi dan sokongan anda, hasrat ini mungkin tidak dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Dalam pada itu, Siti Aisyah berkata, beliau telah menyelesaikan hampir keseluruhan siri jelajah kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) sepanjang tempoh berkempen.
“Hari ini merupakan hari terakhir untuk saya membuat kunjungan akhir ke mana-mana kawasan yang belum sempat disinggahi, termasuk memenuhi permintaan penduduk yang mahu saya hadir ke kawasan mereka,” ujar beliau.
Untuk rekod penyandang Datuk Kalsom Noordin pada PRN 2021 memenangi kerusi tersebut selepas meraih 4,839 undi dengan majoriti 131, dalam pertembungan empat penjuru.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
