Kalau Benar Dap Berprinsip, Letak Jawatan Jangan Sekadar Drama – Shaiful Hazizy

PANTAI KUNDOR, 13 Nov – Dap tidak seharusnya hanya bercakap soal prinsip dan mengugut untuk meletakkan jawatan secara terpilih, sebaliknya seluruh barisan menteri serta timbalan menteri parti itu perlu mengambil tindakan sama sekiranya benar-benar serius dengan pendirian mereka.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menegaskan, tindakan meletakkan jawatan tidak sepatutnya hanya melibatkan Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke, sedangkan barisan kepimpinan parti itu yang lain terus kekal menikmati kedudukan dalam Kabinet.

Tegasnya, Dap perlu membuktikan bahawa kenyataan dan pendirian yang dilaungkan bukan sekadar retorik politik untuk mencetuskan tekanan, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten.

“Jangan biarkan Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke seorang sahaja meletakkan jawatan. Seluruh barisan menteri dan timbalan menteri daripada Dap sewajarnya turut meletakkan jawatan.

“Jangan hanya berani bercakap soal prinsip tetapi apabila tiba masa untuk bertindak, mula berdolak-dalik. Jangan jadi bacul dan tidak berpendirian.

“Ini semua sebenarnya drama politik. Hakikatnya, mereka tidak akan meletakkan jawatan kerana takut kehilangan kuasa,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok mendesakan sikap Dap yang tidak boleh menerima sebarang perbezaan pandangan, meskipun suara yang disuarakan UMNO dan BN adalah berkaitan hasrat serta permasalahan rakyat.

“Takkan mana-mana Ahli Parlimen atau pemegang jawatan Kabinet daripada BN dalam Kerajaan Perpaduan langsung tidak boleh menyuarakan hasrat dan permasalahan rakyat? Takkan berbeza sedikit pun tidak boleh.

“Saya melihat perkara ini lebih kepada permainan emosi apabila Dap berasa terancam, tertekan dan tercabar berikutan kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina sendiri.

“Jalan yang terbaik, adalah bubar Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan rakyat umum yang akan datang,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Shaiful Hazizy turut mempersoalkan pendirian Anthony Loke berhubung isu peletakan jawatan, yang disifatkannya sebagai satu drama politik penuh percanggahan dan mengelirukan.

“Saya hairan, Anthony Loke ini sebenarnya mahu meletakkan jawatan atau tidak? Apa drama yang cuba dimainkan oleh Dap.

“Ketika proses pengumuman sedang berlangsung, tidak ada sebarang bunyi mengenai peletakan jawatan. Ketika Perdana Menteri mengusulkan agenda pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Pengampunan pun, tiada suara bantahan atau ancaman untuk meletakkan jawatan daripada rakan-rakan Dap,” ujarnya.

Tambah beliau, jika Dap benar-benar mahu mempertahankan prinsip yang dilaungkan, mereka perlu berani mengambil tanggungjawab secara menyeluruh dan tidak hanya menjadikan ancaman peletakan jawatan sebagai modal politik. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO