Mereka Tuduh Kita Sakau, Biar Rakyat Nilai! – Zambry

MELAKA, 13 Nov – Tuduhan dan serangan politik terhadap Barisan Nasional (BN) tidak akan mudah mempengaruhi rakyat kerana pengundi hari ini semakin matang untuk menilai sendiri fakta serta rekod sesebuah parti.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihak yang ketandusan program dan manifesto yang mampu menarik sokongan rakyat cenderung menggunakan pendekatan menyerang serta membina persepsi negatif terhadap lawan politik.

Menurut beliau, tuduhan termasuk dakwaan BN ‘sakau’ dilihat sebagai senjata politik untuk membentuk pandangan rakyat, namun keputusan akhirnya tetap berada di tangan pengundi.

“Mereka tuduh kita sakau, tetapi rakyat yang membuat penilaian. Rakyat nilai, tak ada benda lain yang mereka cakapkan. Mereka gunakan perkara itu sebagai senjata politik, tetapi akhirnya rakyat yang menilai dan tahu memilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam siri podcast Kita Geng Biru anjuran Penerangan UMNO Malaysia menerusi platform Facebook UMNO Online, malam tadi.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, BN memahami perjalanan serta pengalaman parti itu dalam pentadbiran negara dan tidak perlu menjadikan tuduhan politik sebagai ukuran perjuangan.

Katanya, beliau yakin rakyat tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi kerana mereka mempunyai kebijaksanaan untuk menilai kemampuan dan keikhlasan sesebuah parti.

“Saya yakin akhirnya rakyat tidak akan mudah terpengaruh. Kita tahu perjalanan parti kita, tetapi kalau perkara itu digunakan sebagai senjata politik, ia tidak perlu,” katanya.

Beliau menegaskan, politik sepatutnya menjadi medan menawarkan idea, penyelesaian dan hala tuju yang jelas kepada rakyat, bukannya sekadar mempertahankan sokongan melalui serangan peribadi serta tuduhan berulang kali.

Justeru, beliau yakin pengundi akan membuat pilihan berdasarkan pertimbangan sendiri dan melihat parti mana yang benar-benar mempunyai kemampuan untuk mentadbir negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO