“BN Tak Mungkiri Janji… Junjung Titah Agong” – Norliza

ALOR GAJAH, 13 November – Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang niat untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan, sebaliknya akan terus berpegang kepada komitmen dan janji yang telah dibuat untuk bersama-sama mentadbir negara sehingga tamat tempoh penggal.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pendirian BN itu berlandaskan prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong serta komitmen yang telah dipersetujui sejak pembentukan kerajaan berkenaan.

Menurutnya, BN bukanlah sebuah parti yang mudah memungkiri janji hanya kerana berdepan pelbagai tekanan atau percaturan politik semasa.

“Kita sebenarnya menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Kita sudah berjanji akan berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh penggal. Kita ini jenis orang, kalau berjanji, kita tepati.

“Jadi, kita tidak ada niat untuk menarik sokongan atau melakukan perkara sedemikian,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata demikian ketika mengulas pelbagai pandangan dan desakan yang semakin hangat diperkatakan di media sosial berhubung kedudukan BN dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk gesaan supaya parti itu mempertimbangkan semula sokongannya terhadap kerajaan.

Ini termasuklah pimpinan Dap, yang menyeru Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sekiranya tidak lagi yakin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Norliza menegaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kerjasama politik sedia ada tidak seharusnya meletakkan tekanan kepada BN untuk menarik sokongan.

Katanya, sekiranya terdapat pihak yang merasakan kerjasama itu tidak lagi sesuai, mereka perlu membuat keputusan berdasarkan pendirian sendiri dan bukannya cuba menentukan hala tuju politik BN.

“Kalau Dap yang rasa tidak puas hati, mereka sendiri yang bercakap mengenai soal meletakkan jawatan dan sebagainya. Kalau mereka tidak puas hati, jangan pula paksa kita untuk menarik sokongan.

“Tidak perlulah mengajar kita. Kita sudah lama dalam politik dan tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berpandangan bahawa sekiranya kemelut politik berterusan sehingga menjejaskan kestabilan kerajaan, jalan penyelesaian paling jelas adalah dengan mengembalikan mandat kepada rakyat.

Menurutnya, pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum baharu boleh menjadi pilihan sekiranya semua pihak tidak lagi berpuas hati dengan kedudukan politik semasa.

“Kalau semuanya tidak puas hati, senang sahaja. Sebagaimana yang disebut oleh Presiden UMNO, kita bubarkan Parlimen dan berikan mandat semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang terbaik.

“Daripada ada pihak yang mahu mengajar kita supaya menarik sokongan, lebih baik kita serahkan kepada rakyat. Kita semua sudah lama dalam politik dan mungkin sudah sampai masanya mandat itu dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, rakyat perlu diberikan ruang untuk menentukan sendiri kerajaan yang diyakini mampu membawa kestabilan serta mentadbir negara dengan lebih baik, sekiranya kerjasama politik sedia ada tidak lagi dapat dipertahankan.

Terdahulu, Norliza menyempurnakan pelepasan Program Neon Run 2026 yang berlangsung di pekarangan Balai Raya Taman Pengkalan Indah, di sini, malam tadi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO