TVET MARA Melaka Bakal Jadi Pusat Latihan e-Sports Kebangsaan – Ahmad Zahid

MERLIMAU, 13 Nov – Institusi TVET MARA di Melaka bakal dijadikan pusat latihan e-Sports seluruh negara sebagai usaha memperkasa pembangunan bakat anak muda dalam bidang sukan elektronik itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah mendapat persetujuan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi menjadikan Melaka sebagai pusat pembangunan dan latihan pemain eSports di peringkat kebangsaan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa persetujuan daripada Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi bersetuju untuk menjadikan TVET MARA di Melaka ini sebagai pusat latihan eSports seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis AZH Jelajah eSports Melaka Biru 2026 bagi di Pekan Merlimau, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO seterusnya berkata, pembangunan bidang e-Sports perlu diberikan perhatian memandangkan ia merupakan satu bidang baharu yang mampu menjadi platform aktiviti sihat serta mencungkil bakat anak muda.

Menurut beliau, Malaysia juga mempunyai potensi untuk melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia, termasuk menerusi pasukan eSports tempatan seperti HomeBois.

“Saya berhasrat agar pasukan eSports dari Malaysia termasuk HomeBois akan menjadi johan dunia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk membawa penganjuran Kejohanan Dunia eSports ke Melaka pada 2028 selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden eSports dunia.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO