PRN Melaka Cerminan Usaha Birukan Negara Pada PRU16 – Ahmad Zahid
HANG TUAH JAYA, 12 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin keserasian dan kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) mampu membawa kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kesepakatan kedua-dua gabungan itu memperlihatkan kematangan politik apabila masing-masing mengetepikan perbezaan demi mencapai matlamat bersama.
“Dahulu mereka alergik tengok warna merah kita… kita pun alergik tengok warna hijau tapi sekarang ini, ada biru pekat, ada biru cerah, kita ketepikan perbezaan bergerak atas satu pasukan untuk PRN Melaka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Pengundi India Muslim (KIMMA) di Bilik Gerakan Pengkalan Batu, turut hadir Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.
Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood; DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan Pen Lam; DUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif dan DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Dalam pad itu Ahmad Zahid turut menyifatkan perkembangan itu menjadi gambaran kepada aspirasi untuk membirukan seluruh negara pada PRU16 menerusi kerjasama dan keserasian yang dibina antara kedua-dua gabungan.
“Oleh karena BN meletakkan 23 calon dan PN meletakkan lima calon. Kami merasakan bahawa di Melaka ini akan menyaksikan jaya atau sebaliknya pada 14 hari bulan ini.
“Ini adalah cerminan untuk kita membirukan di seluruh negara apabila pada Pilihan Raya Umum yang ke-16.
“Di Melaka ini kita lihat bahawa keserasian di antara BN dan PN. Bukan sahaja kita telah mulakan di Negeri Sembilan, tetapi di Melaka ini kita percepatkan keserasian yang baik ini, bahawa insya-Allah kita akan dapat merangkul kemenangan,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
