Ab Rauf Seru Pengundi Melaka Keluar Mengundi 14 November Ini
MELAKA, 11 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyeru seluruh pengundi di negeri ini supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 14 November ini.
Beliau berkata, setiap pengundi perlu mengambil peluang untuk menunaikan hak masing-masing dalam proses demokrasi, sekali gus menentukan pilihan mereka pada hari pengundian.
“Menjelang 14 November ini, saya menyeru seluruh pengundi di Melaka agar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing. Kita Geng Biru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau hari ini bagi memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hameed Basheer.
Dalam kunjungan itu, Ab Rauf turut menyentuh komitmen Hameed atau lebih dikenali sebagai Tok Hameed sepanjang menerajui DUN Ayer Limau, khususnya usaha menyelesaikan pelbagai isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian termasuk isu jalan berlubang, kemudahan lampu jalan dan masalah banjir, selain pendekatan turun padang menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
“Bukan hendak puji Tok Hameed ni, tapi siapa yang boleh nafikan kerja keras dan pembaharuan yang dibawakan beliau sepanjang menerajui DUN Ayer Limau ini.
“Daripada menyelesaikan isu jalan berlubang, lampu jalan, masalah banjir sehinggalah turun padang bersama rakyat menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), semuanya berkait rapat dengan keperluan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau turut menegaskan prinsip bahawa seseorang wakil rakyat perlu memahami denyut nadi masyarakat dan sentiasa berada bersama rakyat, terutama ketika mereka memerlukan bantuan.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota keselamatan yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal semalam.
Beliau menyifatkan peratusan keluar mengundi awal yang mencecah 95 peratus sebagai sesuatu yang membanggakan.
Ab Rauf turut mengaitkan perkembangan itu dengan sokongan terhadap BN menerusi ungkapan ‘Gelombang Biru’ di Melaka. – UMNO Online
