RUU Perubahan Iklim Nasional Perlu Dibentang, Dilaksana Secepat Mungkin – Hasni
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berpandangan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Nasional perlu dibentang dan dilaksanakan secepat mungkin.
Ini kerana katanya, peranan Kementerian Kelestarian Alam adalah begitu penting untuk menonjolkan Malaysia di peta dunia.

“Malaysia mempunyai potensi yang begitu luas untuk menjadi hab pembangunan sistem yang lebih lestari. Sebagai contoh, semua negara ASEAN ingin melakukan industrialisasi, urbanisasi dan pendigitalan. Itu adalah hasrat negara-negara ASEAN.
“Peranan Kementerian Kelestarian Alam khususnya adalah begitu penting untuk meletakkan Malaysia di peta dunia yang lebih menonjol. Peranan negara kita, sebagai contoh, usaha Kementerian untuk memastikan peranan kerajaan dalam membentuk ‘regulatory framework’ ini adalah sesuatu yang jelas.
“Maka, RUU Perubahan Iklim Nasional ini tidaklah wajar ditangguhkan atau dilewatkan. Kerajaan perlu mencari usaha dan langkah-langkah untuk memastikan RUU Perubahan Iklim ini dapat dibentangkan di Parlimen dan dilaksanakan secepat mungkin kerana potensi negara kita untuk ke hadapan dalam soal kelestarian ini adalah begitu tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Parlimen sebentar tadi.
Ujarnya, usaha tersebut seiring untuk menjayakan Rancangan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).
“Ini kerana dengan adanya pembangunan pusat-pusat data, ia memerlukan negara kita membangunkan program-program kelestarian, lebih-lebih lagi dalam usaha membangunkan tenaga boleh baharu ini.
“Perkara ini adalah sesuatu yang cukup mendesak. Untuk itu, kerjasama yang saya maksudkan antara kerajaan, industri dan juga pihak akademik supaya dapat diperkukuhkan kerana ketiga-tiga peranan ini iaitu kerajaan dengan pembangunan ‘regulatory framework’ yang jelas, pihak industri yang dapat menarik pelaburan dan pembiayaan pembangunan kelestarian ini, termasuk pihak akademik yang akan dapat menggabungkan serta menghubungkan pelbagai disiplin yang ada dalam negara kita untuk menjayakan Malaysia sebagai negara yang lestari,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mendapatkan kepastian mengenai RM1.8 juta peruntukan sebagai bantuan bencana alam.
“Pada Butiran 030000, hanya RM1.8 juta disediakan untuk bantuan kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar, sebagai contoh. Empat tahun yang lalu, pemilik-pemilik harta benda dan juga tanaman ini mengalami kerugian mencecah lebih daripada RM40 juta.
“Tetapi yang kita dapat tampung hanyalah bantuan dalam bentuk RM1.8 juta itu sebagai, sumbangan bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan. Tetapi untuk jangka panjang, saya kira adakah kementerian sudah melibatkan semua pakar sama ada yang melibatkan hidupan liar seperti gajah dan sebagainya?
“Ada ramai pakar di luar sana yang boleh membantu negara kita. Jadi, adakah kerajaan telah menarik ataupun mendapatkan penglibatan golongan pakar ini?” soalnya. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
